Sunday, June 30, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Kekalkan momentum, percepat kemajuan SDG12

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Penekanan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12 iaitu penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab, menumpukan kepada pembangunan mampan yang memerlukan pilihan penggunaan dan pengeluaran yang bijak daripada setiap lapisan masyarakat.

    Sebagai komitmen ke arah mengubah kaedah pengeluaran dan penggunaan barangan dan perkhidmatan yang bertanggungjawab, Forum Brunei Mampan memainkan peranan penting dalam mempromosikan penyelesaian serta amalan inovatif yang melindungi alam sekitar.

    Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Wawasan), Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelerasan Kebangsaan (JKPK) bagi SDG, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad dalam kata alu-aluannya di Forum Brunei Mampan yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengiran Hajah Siti Nirmala menekankan pentingnya untuk mengekalkan momentum dalam mempercepatkan kemajuan terhadap SDG12 dan menggalakkan para peserta untuk mengaplikasi idea-idea transformatif serta menyepadukan kemampanan dalam kehidupan seharian bagi mendukung usaha negara mencapai SDG dan Wawasan Brunei 2035.

    Pengiran Hajah Siti Nirmala semasa menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Forum dua hari yang julung kalinya diadakan dengan membawa tema Penggunaan dan Pengeluaran Mampan, Penyelesaian untuk Semua, dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) bersempena Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2024 (Brunei MYCE 2024).

    Forum itu mengetengahkan ahli-ahli panel dan moderator dari dalam dan luar negara termasuk United Nations Resident Coordinator Office (UNRCO), United Nations Development Programme (UNDP), United Nations Global Compact for Malaysia and Brunei Darussalam (UNGCMYB), Lee Kuan Yew School of Public Policy, Singapura, Malaysia Green Technology and Climate Change serta RMIT University Melbourne Corporation.

    Pada hari pertama forum, para peserta mendengarkan pembentangan dan perbincangan mengenai penggunaan dan pengeluaran mampan yang merangkumi trend kebangsaan, serantau dan global, kemajuan, cabaran dan peluang untuk penambahbaikan.

    Perspektif kerajaan menampilkan dialog peringkat tinggi mengenai pendekatan negara dalam pengeluaran mampan melalui peralihan tenaga, pengurusan sumber asli yang mampan dan perlindungan alam sekitar.

    Perbincangan dari sudut pandangan pengguna membincangkan tingkah laku pengguna dan strategi-strategi untuk mendidik serta mempengaruhi pengguna ke arah produk-produk yang lebih mesra alam dan mampan.

    Perbincangan sektor swasta pula menumpu kepada amalan perniagaan sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

    Forum Brunei Mampan dihasratkan untuk menyediakan platform bagi pegawai kanan serta pakar tempatan dan luar negara dari agensi kerajaan, institusi akademik, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan belia untuk bertukar pengalaman dan membincangkan penyelesaian kreatif, praktikal dan mampan bagi mempercepatkan lebih banyak kemajuan dalam pelaksanaan SDG, terutama matlamat ke-12.

    Ia juga diharap meningkatkan kesedaran tentang amalan mampan dan menerapkan budaya serta sikap mampan dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...