Saturday, January 4, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan perpaduan agar segala cabaran dapat ditangani

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Mengekalkan perpaduan adalah penting kerana ia kunci pembangunan, di mana setiap lapisan masyarakat jika kekal bersatu, hidup harmoni, saling hormat-menghormati dan bekerjasama, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik.

    Ditambah lagi dengan pegangan ugama yang kuat, akan memastikan Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan kekal merdeka lagi berdaulat.

    Adapun pendukung negara itu ialah rakyat terutama para belia. Merekalah harapan masa depan yang dikehendaki untuk terus menimba ilmu dan kemahiran. Bagi mereka terbuka banyak peluang, maka rebutlah peluang itu.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Masihi 2025, hari ini.

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah dengan merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, di atas limpah rahmatNya mengizinkan kita untuk melangkah ke tahun Masihi 2025.

    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Semoga tahun baharu ini akan lebih mendorong kita untuk sama- sama menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan komitmen demi mencapai perubahan lebih bermakna bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

    Baginda Sultan turut merafak syukur ketika menyentuh mengenai ekonomi negara yang masih sahaja berdaya tahan sekalipun berhadapan dengan ketidaktentuan situasi global.

    Pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN3 (AMRO) telah meramalkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2025 masing-masing sebanyak 2.5 peratus; 2.8 peratus dan 2.9 peratus. Jangkaan ini adalah hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran sektor hiliran.

    Dalam masa yang sama, langkah kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara, khususnya dalam sektor bukan minyak dan gas telah menunjukkan trend yang positif.

    “Sehubungan itu, kerajaan Beta juga akan terus memberikan tumpuan kepada beberapa aspek penting, khususnya mempertingkatkan lagi usaha bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti dan berimpak besar kepada negara ini.”

    “Dalam pada itu juga, perniagaan tempatan, khasnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus dibantu dan diperkukuhkan untuk membolehkan mereka memanfaatkan peluang perniagaan yang dihasilkan daripada FDI ini dan juga untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” titah Baginda.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah, fokus juga akan diberikan kepada meningkatkan pembangunan sumber manusia tempatan melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri.

    Di arena antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam akan tetap berpegang kepada dasar luarnya yang menekankan keseimbangan dalam menimbangkan kepentingan serantau dan pembangunan ekonomi.

    Titah Baginda Sultan lagi, keahlian dan penglibatan aktif negara dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan kita terhadap kerjasama multilateralisme dan menanai perundangan antarabangsa.

    “Natijahnya, peluang untuk berkembang dan bekerjasama dengan negara-negara jiran adalah terbuka luas. Tinggal saja lagi kita diperlukan untuk lebih bijak mengambil peluang ini dengan sebaiknya, di samping tetap mengekalkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kepada pemba-ngunan negara,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya menekankan, agenda utama ialah untuk terus mempertingkatkan daya saing negara, dengan menekankan kepentingan pembangunan yang inklusif dan mampan dengan kerjasama erat pelbagai pihak yang berkepentingan dalam kalangan sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat amnya.

    “Kita juga menghargai peranan penting warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan, yang menjadikan kita berkewajipan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara, selaras dengan pendekatan: Tidak ada sesiapapun yang dibiarkan tercicir dalam pembangunan negara,” tekan Baginda.

    Sebelum mengakhiri titah, Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2024.

    Demikian juga di kesempatan ini, Baginda Sultan sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa atas kerjasama mereka mengeratkan lagi hubungan dengan Negara Brunei Darussalam.

    “Selamat Tahun Baharu Masihi 2025 kepada seluruh rakyat dan penduduk negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara.

    “Semoga Allah SWT memberkati kita dan mengurniakan Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda