BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini, berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd ke-227 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-113 bagi Suku Ketiga tahun 2025 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Brunei LNG dan BGC.
Pada permulaan mesyuarat, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah yang menekankan kepentingan memperkukuh kewaspadaan terhadap aspek keselamatan, memacu penambahbaikan organisasi yang mampan, serta mengekalkan tumpuan dalam bulan-bulan yang mendatang.
Baginda turut menegaskan keperluan mengekalkan piawaian keselamatan dan pengawasan aset yang tertinggi, memastikan pelaksanaan yang berdisiplin, serta mengamalkan perancangan berwawasan ke hadapan bagi memelihara dan memperkukuh daya tahan jangka panjang syarikat.
Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta strategi jangka panjang bagi Brunei LNG dan BGC.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan dari Brunei LNG dan BGC.
Baginda Sultan seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) ke-416 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) ke-194 bagi Suku Ketiga tahun 2025, esok.





