Kekalkan ‘rumah dongeng’ bosnia melalui model

SARAJEVO – Menjalankan sebuah kedai kecil di bazar yang sejarahnya berusia sekitar 600 tahun di Sarajevo, Muamer Mujcic sangat berdedikasi kepada pemuliharaan seni bina tradisional Bosnia, atau ‘rumah dongeng,’ dengan membina model-model tersebut.

“Saya tidak menyokong orang moden sekarang harus membina kediaman mereka dengan cara yang sama seperti rumah tradisional orang Bosnia buat. Itu tidak praktikal. Saya tidak akan melakukannya sendiri.

“Tetapi kita harus menyedari keindahan dan keunikan seni bina tradisional kita dan cuba mengekalkannya untuk generasi akan datang,“ kata Mujcic, yang belajar sendiri.

Kedainya dipenuhi dengan model kecil rumah-rumah ‘dongeng’ ini, bentuknya unik dan menghormati gaya tradisional. Estetika tradisional rumah-rumah Bosnia yang berkembang sepanjang abad sangat dipengaruhi oleh Kerajaan Uthmaniyyah dan Kerajaan Austro-Hungarian.

Cara lama untuk membina rumah banyak diganti kerana penggunaan bahan dan reka bentuk moden selepas Perang Dunia II dan rumah tradisional sering kali mengundang keanehan bahkan kepada penduduk tempatan.

Model-model rumah tradisional Bosnia yang dibuat oleh Muamer Mujcic di Sarajevo. – Xinhua
Gambar bertarikh 20 Jun 2020 menunjukkan artis Muamer Mujcic bergambar bersama model-model rumah yang dibuatnya. – Xinhua

Lebih kecil daripada ukuran rumah masa kini, rumah tradisional Bosnia bia-sanya merupakan bangunan dua tingkat dengan tingkat bawahnya diperbuat dari batu. Lantai atas biasanya kerangka kayu yang ditutup dengan batu bata kering yang terbuat dari tanah liat dan campuran jerami.

Bumbungnya mempunyai empat sisi simetri dan ditutup dengan jalur kayu. Kediaman di tingkat atas sementara tingkat bawah disediakan untuk pantri dan untuk perniagaan. Kedua-dua tingkat dihubungkan dengan tangga kayu yang sempit.

Rumah-rumah tradisional dikelilingi oleh pagar kayu atau dinding batu untuk privasi, dan luarannya menampilkan kombinasi taman hijau serta halaman berturap.

Mujcic mengatakan dia meminati seni bina tradisional Bosnia. Baginya, pada mulanya itu hanyalah sebagai hobi dan dia tidak pernah berusaha untuk membina rumah sebenar tetapi lebih suka interpretasi budaya dongeng dan berwarna-warni seperti yang dipamerkan dalam modelnya.

Setelah mempelajari kraf pempro-sesan besi di sekolah atas saranan ibu bapanya, Mujcic menghabiskan lebih dari satu dekad sebagai pemuzik profesional, bermain alat muzik di orkestra yang berbeza dan juga kumpulan muzik yang kecil. Dia telah memainkan muzik tradisional dan moden di konsert, kelab dan restoran.

“Sebagai pemuzik, saya mempunyai banyak masa lapang pada waktu petang dan saya mula membina model rumah tradisional Bosnia,” kata Mujcic. Seiring berjalannya waktu, kemahiran memodelkan dan melukisnya beransur-ansur meningkat dan hobinya menjadi profesion.

“Budaya lain melakukan pekerjaan yang sangat baik untuk mengekalkan warisan seni bina mereka. Saya melihat beberapa contoh hebat di Sepanyol. Saya fikir kita harus melakukan yang terbaik untuk mempersembahkan rumah tradisional Bosnia bukan hanya kepada pelancong, tetapi juga kepada generasi akan datang,” kata Mujcic.

Dia menyimpulkan inspirasinya pada kad nota yang berbunyi: “Saksi-saksi bisu masa lalu dan cara hidup nenek moyang kita, kesepian dan sedih, sepertinya ingin menceritakan kisah yang dilupakan dan misteri dari zaman kuno ketika kehidupan mekar berkembang di dinding-dindingnya.” – Xinhua