Tuesday, February 11, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan standard etika, budaya integriti

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sdn Bhd ke-224 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-110 bagi Suku Keempat tahun 2024, yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Brunei LNG dan BGC.

    Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah yang mana Baginda telah mengimbas kembali cabaran, pencapaian, dan pembelajaran yang diperoleh oleh Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) sepanjang tahun 2024, seterusnya menggalakkan kerjasama erat dan tindakan segera antara pihak-pihak berkepentingan dan ahli-ahli pengurusan.

    Baginda turut menekankan kepentingan bagi kesemua Syarikat-syarikat BSJV untuk mengekalkan standard etika dan pematuhan yang tertinggi, serta memupuk budaya integriti di semua peringkat organisasi.

    Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell PLC dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli pengurusan dari Brunei LNG dan BGC.

    Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai bidang kritikal termasuk pencapaian operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia.

    Selain itu, mesyuarat juga menetapkan hala tuju strategik Brunei LNG dan BGC bagi tahun-tahun yang akan datang.

    Selepas mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan memotong kek ulang tahun bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun ke-55 Syarikat Brunei LNG sejak penubuhannya pada 9 Disember 1969, sebagai syarikat pertama di Pasifik Barat yang memulakan pencairan gas asli secara besar-besaran.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) ke-413 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) ke-191 bagi Suku Keempat tahun 2024 pada 10 Disember.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, kelmarin, berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sdn Bhd ke-224 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-110 bagi Suku Keempat tahun 2024, yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM). – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan memotong kek ulang tahun bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun ke-55 Syarikat Brunei LNG. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG dan Mesyuarat Lembaga Pengarah BGC kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra bersama kakitangan pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda