Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan tahap disiplin, integriti tinggi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Pegawai kadet polis diseru untuk sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan berintegriti, menghayati jati diri polis dengan memahami peranan dan tanggungjawab kepada raja, negara dan masyarakat, menjalankan tugas dengan berkesan, jujur dan amanah serta mempraktikkan nilai-nilai teras Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa bertugas dan juga dalam kehidupan seharian.

    “Selain itu, mengamalkan sikap berkecuali, beretika, bertanggungjawab, hormat-menghormati di samping menghayati falsafah Melayu Islam Beraja.

    “Semua ini merupakan pendekatan utama untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis seterusnya mengukuhkan kerjasama dan keyakinan antara polis dan masyarakat.”

    Seruan itu disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapannya pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan bagi Pegawai Kadet Penolong Penguasa Polis Skuad 1/2023 yang berlangsung di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis, PPDB, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata PPDB merupakan agensi tertua dan utama dalam memastikan keamanan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam yang kini telah mencapai usia 103 tahun.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi memeriksa perbarisan kawalan kehormatan pada acara yang diadakan di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis, PPDB. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam tempoh usia yang sudah matang melewati satu kurun itu, tambahnya, cabaran yang dihadapi oleh pasukan polis juga semakin kompleks dengan adanya perubahan trend jenayah selari dengan perkembangan teknologi dan peredaran masa.

    Dalam hubungan itu, pegawai kadet khasnya dan pasukan polis amnya perlu terus meningkatkan usaha untuk memperluaskan pengetahuan dan pengalaman supaya mampu mendepani dan menangani cabaran-cabaran dan ancaman-ancaman jenayah termasuk jenayah terkini siber seperti penipuan dan eksploitasi kanak-kanak melalui teknologi media sosial, tekan Yang Berhormat Pehin lagi.

    “Saya telah dimaklumkan bahawa setelah tamat latihan ini, para pegawai kadet akan berpeluang mengikuti program Penempatan Sementara di Pasukan Polis Republik Singapura selama tiga minggu.

    “Antara pengisiannya adalah penempatan di Home Team Academy di Neighbourhood Police Centre dan lawatan-lawatan ke jabatan-jabatan khusus seperti Cybercrime Command dan Anti Scam Centre,” tambahnya.

    Oleh itu, Yang Berhormat Pehin menyeru para pegawai kadet merebut peluang berharga berkenaan untuk melihat dan belajar secara dekat amalan-amalan terbaik, tatacara pengurusan di samping meluaskan rangkaian kerjasama antara kedua-dua pasukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda