Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan tahap kesediaan, kesiapsiagaan tinggi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Pandemik COVID-19 mendatangkan pelbagai cabaran dan impak kepada banyak aspek kehidupan, ekonomi, kesihatan dan masyarakat serta keamanan dan pertahanan negara, namun turut membawa hikmah tersendiri untuk dihayati dan diamati.

    Melalui landskap keselamatan negara, ia antara lainnya menggariskan dan mengukuhkan kepentingan untuk terus mengekalkan tahap kesediaan dan kesiapsiagaan yang tinggi, kata Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa ucapan penangguhannya pada Permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis hari ini.

    Menurutnya, meskipun pada permukaannya penglibatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sewaktu krisis wabak COVID-19 ini lebih menyerlahkan kesediaannya kepada operasi-operasi bukan tradisional, namun kesediaan untuk melaksanakan operasi-operasi tradisional dalam mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah pada masa yang sama tidak diketepikan dan akan tetap dikekalkan sebagai suatu keutamaan.

    Beliau turut menerangkan pada zaman dan persekitaran kontemporari ini, pencerobohan wilayah dan kedaulatan masih berlaku di merata dunia, sepertimana yang dapat kita ambil iktibar daripada krisis pergolakan di benua Eropah ketika ini.

    Dalam pada itu, sejajar dengan visi terbarunya untuk mewujudkan ‘Sebuah Angkatan Bersenjata yang Dihormati dan Rakan Kerja yang Mantap’ ke arah memastikan kedaulatan raja, negara dan agama kekal terpelihara dan selamat, Kementerian Pertahanan dan ABDB akan terus mengorak langkah untuk membangunkan sebuah angkatan tentera yang berkembang maju dan unggul dengan bertonggak keupayaan cegah rintang dan respons (deterrence and response), diplomasi pertahanan dan pertahanan holistik, katanya.

    Yang Berhormat Pehin berkata, “syukur Alhamdulillah Kementerian Pertahanan dan ABDB telah pun mengambil inisiatif untuk mengemaskan kerangka komprehensif perancangan pertahanan yang diadaptasikan sebaik-baiknya menurut keadaan persekitaran strategik semasa yang cepat berubah-ubah dan akan menjunjung tinggi kurnia titah Baginda itu pada setiap masa.”

    Menurutnya, dengan tampuk pimpinan baharu dan barisan kepimpinan di peringkat perkhidmatan untuk terus bergerak dan berkembang dengan lebih terarah dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran masa kini dan yang mendatang.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda