Wednesday, May 7, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan tradisi bergotong-royong

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Bergotong-royong atau memucang-mucang dalam menyelenggarakan sebuah majlis sudah menjadi kelaziman bagi orang Brunei dan ia perlu terus dikekalkan terutama kepada generasi penerus ketika kepesatan era teknologi digital telah banyak membuat perubahan dalam kehidupan semua orang.

    Aktiviti gotong-royong juga dapat mengeratkan hubungan kita dengan masyarakat setempat dan melalui aktiviti gotong-royong dalam masyarakat juga dapat mengenali jiran tetangga dengan lebih baik.

    Amalan gotong-royong memberi pelbagai kebaikan secara langsung dan tidak langsung dan setiap organisasi khususnya yang melibatkan masyarakat dan golongan muda seharusnya menggalakkan aktiviti gotong-royong.

    Ia mampu memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi mewujudkan suasana yang harmoni dan meriah dalam masyarakat yang mengamalkan gotong-royong.

    Keharmonian antara masyarakat dalam negara akan kekal utuh dan menjadi tunjang kepada kemajuan negara pada masa kini dan masa hadapan.

    Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini menyerahkan agihan daging korban kepada penerima. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Haji Mohidin semasa ditemu bual oleh media. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara golongan belia yang turut serta semasa perlaksanaan majlis ibadah korban kampung berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    ATAS & BAWAH: Suasana kerja gotong-royong yang masih dikekalkan oleh penduduk kampung berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Penglibatan belia

    Kita merasa bangga atas inisiatif yang berterusan oleh masyarakat kampung yang sentiasa berusaha mengukuhkan lagi hubungan dan mengekalkan suasana permuafakatan dalam mengungkayakan majlis dengan bergotong-royong.

    Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit pada Majlis Penyampaian Daging-daging Ibadah Korban bagi Masjid Kampung Sungai Besar.

    Menurutnya, penglibatan generasi muda itu akan mendidik mereka agar sentiasa melibatkan diri dan berlumba-lumba untuk menimba pengalaman dalam apa juga program atau aktiviti yang berteraskan gotong-royong dan kemasyarakatan pada masa hadapan.

    Tiga ekor kerbau daripada 21 peserta telah dikorbankan bagi majlis ibadah korban anjuran Masjid Kampung Sungai Besar berkenaan dan pengagihan daging korban itu telah disampaikan oleh Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman kepada peserta, ibu tunggal, orang-orang yang kurang kemampuan.

    Sementara itu, Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini pula menyerahkan agihan daging korban kepada penerima lelaki manakala Ketua Muslimah Masjid Kampung Sungai Besar, Hajah Siti Awal binti Awang Radin menyampaikan agihan kepada penerima perempuan.

    Mengimbas kenangan

    Seperti lazimnya bila datangnya bulan Zulhijah atau Hari Raya Aidiladha, sudah sinonim dengan penganjuran majlis-majlis korban diseluruh dunia dan begitulah juga saban tahun yang dipraktikkan di Negara Brunei Darussalam.

    Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bukan sahaja dapat berkongsi rezeki de-ngan mereka yang layak menerima agihan daging-daging korban tapi ia juga adalah peluang untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan melakukan kerja bergotong-royong.

    Sementara itu, seorang warga emas, Haji Mohidin bin Pengarah Haji Basi ketika di temu bual, mengongsikan kenangan dan pengalaman beliau semasa majlis ibadah korban yang dilakukan pada zaman dulu.

    “Semasa saya tinggal di Kampung Setia A, jika ada yang ingin melaksanakan ibadah korban, biasanya penduduk kampung akan memaklumkan kepada Ketua Kampung dan saudara mara untuk mengutip kewangan secara berkumpulan atau perseorangan melalui ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

    Apabila tiba harinya untuk menjalankan ibadah tersebut, kongsinya, ramai penduduk kampung bergotong-royong untuk membina teratak kecil dan tempat khas bagi melakukan penyembelihan.

    Tambahnya, biasanya tempat yang dipilih adalah kawasan yang mempunyai pohon besar untuk menambat binatang korban bagi memudahkan penyembelihan.

    Zaman dulu, daging-daging korban yang diagihkan akan ditimbang mengikut sukatan nilai kati dan pengagihan pula akan dilakukan oleh ketua kampung atau imam masjid bersama peserta yang menyertai dalam ibadah korban tersebut.

    Beliau seterusnya menyentuh mengenai kerja memucang-mucang dari awal hingga ke kerja pengagihan yang pada masa ini hanya diadakan di kampung-kampung dan orang persendirian sahaja.

    Ini kerana sudah adanya perkhidmatan yang ditawarkan bagi kerja perlaksanaan ibadah korban dan ia merupakan satu usaha yang efisien bagi memudahkan orang ramai yang membuat ibadah korban.

    Bagi kerja kemasyarakatan dan bergotong-royong itu adalah perlu melibatkan belia-belia dalam mengendalikan bersama proses ibadah korban bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahuan bahkan akan menjadi pelapis kepada orang-orang lama di kampung masing-masing untuk terus mengekalkan konsep bergotong-royong ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda