Thursday, March 20, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan tradisi pembuatan mainan inovatif

    CHANNAPATNA, INDIA – Deruan mesin dan bau kayu berukir menyelubungi bengkel patung mainan India, bentuk seni berusia berabad-abad yang masih dijual di pasaran meskipun terdapat alternatif plastik yang lebih murah.

    Bandar Channapatna di India terkenal dengan barang mainan kayu dan lakuernya, diukir daripada kayu gading daripada pokok daun luruh tempatan – dan dicelup dalam pewarna berwarna cerah daripada bahan semula jadi termasuk kunyit dan nila.

    “Saya berasa berminat untuk belajar membuat mainan selepas melihat orang di kawasan kejiranan saya melakukannya,” kata pembuat mainan Rupa, yang hanya menggunakan satu nama. “Saya merasakan bahawa saya juga boleh mempelajari kraf itu.”

    Kuda berayun, walker anak damit dan anak patung menari yang dipotong daripada kayu merupakan satu pemandangan biasa di bengkel itu, yang menggaji kira-kira 2,500 tukang di bandar di negeri selatan Karnataka. Industri pembuatan mainan Channapatna bermula pada tahun 1700an apabila Tipu Sultan, pemerintah kerajaan Mysore ketika itu, meminta artis dari Parsi untuk melatih penduduk tempatan.

    Persaingan yang semakin meningkat daripada barang mainan yang dihasilkan secara besar-besaran, termasuk replika murah buatan China, telah menjejaskan pertumbuhan industri di bandar itu – namun ia kekal bertahan.

    Pekerja menghasilkan mainan kayu di unit pengeluaran mainan di Channapatna. – AFP
    Seorang artisan meletakkan kepala patung bercat untuk dikeringkan di kilang pengeluaran mainan di Channapatna, daerah Ramanagara, negeri Karnataka, India. – AFP
    Seorang budak mengutip kayu untuk mainan lakuer di unit pengeluaran mainan. – AFP
    Mainan kayu yang dicat lakuer dikeringkan di unit pengeluaran mainan di Channapatna. – AFP
    Gambar AFP
    Artisan Kouser Pasha mempamerkan mainan kereta api kayu di kilang mainannya di Channapatna. – AFP
    Seorang pekerja membungkus mainan kayu untuk dieksport di kedai Venkatesh di Channapatna. – AFP
    Seorang pekerja mengecat mainan kayu di Channapatna. – AFP

    Produk-produk di bandar itu menyaksikan lonjakan dalam minat pada 2010 apabila bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama membeli beberapa mainan di ibu negara, New Delhi, semasa lawatan rasmi ke India. Barang mainan pernah diukir dengan tangan, tetapi penggunaan mesin pelarik elektrik dan peralatan lain telah membantu mengekalkan ekonomi industri.

    “Pada zaman dahulu, setiap kerja memerlukan tukang atau artisan,” kata B.

    Venkatesh, yang mengendalikan dua bengkel kecil di bandar itu. “Tetapi sekarang, dengan segelintir sahaja yang masih bekerja, mesin boleh membantu dengan tugas yang berbeza.”

    ‘RASA GEMBIRA’

    Perniagaan adalah agak laris untuk lelaki berusia 53 tahun itu, dengan kilangnya mendapat tempahan dalam ribuan daripada pembekal di seluruh negara pada bulan-bulan kemuncak.

    Beliau berkata orang ramai menghargai kualiti mainan yang tahan lama.

    “Apabila kita mengeringkan kayu gading dengan betul, dan menggunakan lakuer dan pewarna daripada sayuran, mainan akan kekal sama selama beratus-ratus tahun,” kata Venkatesh. Tetapi dia memberi amaran bahawa perniagaannya akan ‘lenyap dalam jangka panjang’ tanpa menerima lebih banyak sokongan.

    Awal bulan ini, kerajaan menjanjikan satu skim bertujuan menjadikan India sebagai hab global untuk produk mainan inovatif dan unik yang menampilkan budaya tempatan.

    Venkatesh berkata pihak berkuasa perlu melakukan lebih banyak dengan membuka bengkel untuk membantu memupuk generasi baharu artisan. Bagi mereka yang sudah berkecimpung dalam bidang perniagaan, seni kemahiran mereka adalah lebih daripada sekadar mata pencarian.

    “Membuat mainan memberi saya rasa kepuasan dan gembira,” kata Rupa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda