Friday, March 28, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan warisan seni lagu Islam

    Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

    TEMBURONG, 26 OGOS – Bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong, Majlis Perundingan Mukim Bangar dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong telah menganjurkan Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Majlis-majlis Perundingan Mukim Daerah Temburong 1440H/2019M, kelmarin.

    Dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok itu, Kategori Lelaki telah dimenangi oleh Pasukan Mursyidun dari Mukim Bokok yang membawakan dikir bertajuk ‘Al Ham’ manakala itu, Kategori Perempuan dijuarai oleh Pasukan Al Wafiqah dari Mukim Bangar dengan dikir ‘Bisyahrin’.

    Penyampaian hadiah berupa piala dan wang tunai kepada para pemenang telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu selaku tetamu kehormat majlis. Pemenang bagi setiap kategori akan mewakili Daerah Temburong dalam pertandingan di peringkat kebangsaan yang akan diadakan nanti.

    Pertandingan yang disertai oleh lima kumpulan lelaki dan lima kumpulan perempuan mewakili lima mukim itu antara lain juga bertujuan untuk mengekalkan warisan budaya khususnya di Negara Brunei Darussalam supaya tidak pupus kerana keindahan seni lagu Islam sesuai dengan konsep Negara Zikir di samping memanjatkan syafaat dengan melaungkan puji-pujian kepada Rasulullah SAW.

    Turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong serta ahli-ahli jawatankuasa majlis perundingan mukim dan kampung di daerah ini.

    Pemenang Kategori Lelaki ketika mempersembahkan lagu dikir berjudul ‘Al Ham’.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda