Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekalkan warisan serunding, dodol

    TUMPAT – Meskipun sudah lebih lima dekad perusahaan serunding dan dodol Suzara bertapak di Kelantan, namun peluang bagi syarikat perniagaan yang menggunakan resipi turun-temurun itu untuk mempromosikan keluarannya ke rantau Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh.

    Pengurus Pemasaran Suzara Serunding, Nor Fatin Nabila Sukri berkata sehubungan itu pihaknya amat bersyukur apabila diberi peluang mempromosi serunding keluarannya di Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025, Johor Bharu pada 15 hingga 20 Januari lepas.

    “Alhamdulillah ketika forum berlangsung, semua 50 kilogram serunding yang kami bawa habis dijual, malah ada delegasi dari Brunei yang hubungi saya untuk membuat tempahan makanan tersebut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Forum bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia itu memberi tumpuan kepada usaha memupuk pelancongan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif di Asia Tenggara, mencerminkan komitmen anggota ASEAN untuk membina komuniti ASEAN yang adil dan mampan.

    Nor Fatin Nabila berkata pihaknya masih mengekalkan empat jenis serunding iaitu daging tempatan yang dijual dengan harga RM66 sekilogram, daging import (RM56 sekilogram), ayam (RM57 sekilogram) dan ikan (RM45 sekilogram).

    Nor Fatin Nabila Sukri memastikan bahan-bahan yang digunakan membuat serunding sebati dan dimasak dengan baik. – Bernama
    Kuih gelembung buaya antara produk yang menjadi kegemaran pelanggan. – Bernama
    Nor Fatin Nabila Sukri menyusun sebahagian serunding yang dijual. – Bernama

    “Serunding daging tempatan menjadi pilihan utama pelanggan saya, tetapi apabila menjelang bulan puasa (Ramadan) dan perayaan Aidilfitri, serunding ikan turut mendapat permintaan tinggi kerana ada pelanggan saya yang mahu jual popia simpul dan karipap mini yang menggunakan inti serunding ikan.

    “Sekarang ini pun memang kami agak sibuk uruskan permintaan daripada pelanggan kerana jualan akan mencecah lima hingga enam kali ganda menjelang musim berkenaan,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan dodol dan kuih gelembung buaya.

    Beliau yang kini mempunyai 15 pekerja berkata proses membuat serunding ini memerlukan penelitian yang tinggi untuk memastikan bahan-bahan yang digunakan sebati dan dimasak dengan baik.

    “Kebanyakan bahan yang digunakan ini dibeli dekat Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong, Kota Bharu sebelum diproses di kilang Kampung Laut, Tumpat dan pelanggan boleh beli sendiri di kilang.

    “Kami juga ada buka satu lagi cawangan baharu di Kampung Laut tidak jauh dengan kilang dengan menempatkan lebih 50 produk lain daripada usahawan tempatan seperti kuih kapit, kerepek, popia gulung dan banyak lagi,” katanya yang turut mendapat tempahan daripada China dan Australia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda