KUALA LUMPUR, 7 MEI – Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia Leong Jun Hao, telah menamatkan kempen Piala Sudirman 2025 yang baru berakhir di Xiamen, China bukan dengan kejuaraan, namun sesuatu yang sama nilainya iaitu keyakinan diri.
Beliau yang menjadi kapten pasukan buat kali pertama dalam kejohanan berpasukan utama itu, Jun Hao telah mengetuai pasukan negara hingga ke suku akhir kejohanan yang berlangsung di Gimnasium Xiamen Fenghuang.
Kempen itu berakhir dengan kekecewaan, apabila pada Jumaat Malaysia tewas 0-3 kepada pasukan tuan rumah China, yang menjuarai kejohanan itu.
Di sebalik kekecewaan itu, kemenangan Jun Hao ke atas pemain Jepun Kodai Naraoka 21-8, 13-21, 21-18 dalam perlawanan peringkat kumpulan yang juga kemenangan keempatnya daripada lima pertemuan mereka, memberikan semangat buat pemain nombor 24 dunia itu.
“Kemenangan ke atas Naraoka sememangnya meningkatkan keyakinan saya dan saya dapat lebih banyak keyakinan daripada perlawanan itu,” katanya ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Jun Hao berkata kekalahan 6-21, 14-21 kepada pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi dari China pada pertemuan mereka buat kali pertama di suku akhir Piala Sudirman 2025 pula, menjadi pengalaman yang sangat berharga buat dirinya.
Walaupun mengakui berhadapan kesukaran menentang Yu Qi, pemain berusia 25 tahun itu telah memerhatikan bagaimana Yu Qi menggunakan pelbagai jenis pukulan dan kawalan taktikal, untuk mengehadkan pergerakan serta menafikan sebarang peluangnya untuk menang.
Sementara itu, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menyedari di bawah bimbingan pengarah kejurulatihan perseorangan negara Kenneth Jonassen yang memulakan tugasnya awal tahun ini, permainannya kini semakin meningkat. – Bernama
