Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekeliruan bermula waktu Imsak

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Puasa adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Dalam kita menjalani ibadah puasa, banyak perkara yang berkaitan dengannya perlu diketahui dan difahami dengan lebih mendalam, tujuannya untuk membantu kita melaksanakannya dengan sempurna.

    Salah satu perkara yang harus difahami itu ialah imsak. Apa yang dimaksudkan dengan imsak?

    Pengertian imsak

    Imsak adalah perkataan Bahasa Arab yang bererti menahan diri. Imsak pada puasa pula ertinya menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa, makan, minum dan persetubuhan dengan syarat-syarat yang tertentu.

    Waktu imsak bagi orang yang berpuasa bermula dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari. Sebagaimana firman Allah yang tafsirnya:

    “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu (kerana) mereka adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu, dan makan serta minumlah kamu (pada malam bulan Ramadan itu) sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib); …” (Surah al-Baqarah: 187)

    Selain daripada itu, imsak pada bulan Ramadan bukan hanya dikhususkan kepada orang yang berpuasa sahaja, bahkan ia diwajibkan juga kepada orang-orang tertentu walaupun puasanya sudah batal, antaranya:

    1) Orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa ada keuzuran.
    2) Orang yang lupa berniat malam hari pada bulan Ramadan.
    3) Orang yang bersahur menyangka bahawa fajar shadiq belum terbit, sedangkan pada hakikatnya ketika itu fajar sudah terbit.
    4) Orang yang berbuka puasa menyangka bahawa matahari telah terbenam sedangkan pada hakikatnya ketika itu matahari masih kelihatan.

    Selain itu juga, imsak disunatkan kepada orang-orang tertentu walaupun dia tidak berpuasa, antaranya:
    1) Seseorang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran seperti orang yang sakit apabila dia sembuh dan orang yang musafir apabila dia sampai ke tempat kediamannya pada waktu siang Ramadan.
    2) Orang yang sedar daripada gila, orang yang memeluk agama Islam, kanak-kanak yang baru baligh dan perempuan yang baru bersih daripada haidh atau nifas pada waktu siang Ramadan.

    Beberapa kekeliruan mengenai bermula waktu imsak

    1. Kekeliruan mengenai hadis bersahur setelah kedengaran azan
    Dalam usaha kita untuk mendalami hukum-hakam berhubung puasa, pada masa kini telah diperkenalkan perkhidmatan sistem teknologi informasi dan komunikasi yang berfungsi sebagai tempat penyebaran maklumat-maklumat. Namun sejauhmana setiap perkongsian maklumat tersebut memberikan fakta yang tepat, shahih dan benar?

    Antara maklumat yang pernah disebarluaskan ketika dulu melalui perkhidmatan aplikasi moden ini, ialah satu perkongsian tazkirah mengenai sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:

    “Jika salah seorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan terdapat bejana (tempat menyimpan makanan atau minuman) pada tangannya maka janganlah diletakkan bejana itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya (makan atau minum) dari bejana itu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Antara perkara sunnah Rasulullah yang disukai ialah melambatkan bersahur kerana sesiapa yang mengakhirkan atau melambatkan sahur pada akhir malam iaitu hampir terbit fajar akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur itu. – Agensi

    Sebilangan orang berpendapat hadis itu menjelaskan tentang keadaan seseorang yang sedang bersahur yang tiba-tiba mendengar laungan azan subuh, sedangkan pada ketika itu dia belum selesai menghabiskan makanan atau minuman pada bekas atau gelas yang berada di tangannya, maka tidaklah perlu dia meletakkannya sehingga dia menghabiskan baki makanan atau minumannya itu. Menurut fahaman mereka juga, perkara ini apabila dilakukan tidak akan membatalkan puasa seseorang itu.

    Persoalannya adakah benar seperti apa yang mereka fahami? Sejauhmana tazkirah ini dapat menyampaikan ilmu dan maklumat yang benar-benar tepat? Jika ia tidak dihuraikan dengan lebih jelas maka ia akan menimbulkan kekeliruan.

    Penjelasan mengenai hadis di atas, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa azan yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah laungan azan pertama sebelum fajar dan ia bukan azan subuh.

    Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:

    “Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam, maka makanlah dan minumlah kamu sehingga Ibn Ummi Maktum mengumandangkan azan.” (Muttafaq ‘alaih)

    Hadis ini menunjukkan bahawa harus melaungkan azan sebanyak dua kali, azan pertama sebelum terbit fajar (masih malam) dan azan kedua setelah masuk waktu subuh. Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab Syarah Muslim, menurut ulama bahawa Bilal r.a. melaungkan azan sebelum fajar dan beliau berdoa dan sebagainya sementara menanti terbitnya fajar. Apabila fajar sudah hampir terbit, beliau akan mengkhabarkan Ibn Ummi Maktum r.a., kemudian Ibn Ummi Maktum r.a. akan bersiap-siap dengan bersuci dan sebagainya lalu mengumandangkan azan subuh di awal masuknya waktu terbit fajar.

    Hikmah melaungkan azan pertama sebelum terbit fajar itu antaranya bertujuan supaya orang ramai bersiap sedia sebelum menunaikan sembahyang subuh seperti bersuci daripada junub, berwudhu, mandi dan termasuk juga untuk bersahur bagi orang yang hendak berpuasa.

    Hadis ini juga menunjukkan orang yang hendak berpuasa harus makan, minum, jima’ dan sebagainya selagi fajar shadiq belum terbit.

    Oleh itu, jelaslah bahawa tanggapan segelintir orang mengenai keharusan makan dan minum walaupun setelah azan subuh berkumandang adalah tidak tepat. Ini kerana hadis yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa Rasulullah menyuruh makan dan minum selagi fajar shadiq belum terbit.

    2) Kekeliruan waktu imsak yang tercatat dalam kalendar

    Di Negara Brunei Darussalam telah disediakan waktu-waktu sembahyang, imsak dan syuruk sepanjang tahun yang pada kebiasaannya dicetak dalam kalendar. Apa yang menjadi kekeliruan segelintir masyarakat adalah waktu imsak yang tercatat dalam kalendar tersebut, waktunya bermula sepuluh minit lebih awal daripada waktu subuh.

    Menurut mereka, jika masuk waktu imsak yang tercatat dalam kalendar tersebut, maka bermulalah waktu berpuasa dan batal puasa jika masih meneruskan bersahur.

    Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, waktu imsak bagi orang yang hendak berpuasa bermula dari terbit fajar shadiq iaitu setelah masuk waktu subuh. Malahan sunat melambat-lambatkan sahur sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dzar r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Umatku sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan bersahur” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

    Hukum sunat melambatkan sahur itu tertakluk apabila tidak timbul keraguan pada waktu terbitnya fajar. Jika ada keraguan pada waktu terbitnya fajar maka tidak sunat melambat-lambatkan sahur bahkan afdal untuk tidak melambatkannya sehingga ke akhir waktu. Ini kerana meninggalkan perkara yang diragukan itu adalah disuruh syarak sebagaimana diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali, apa yang beliau hafal daripada Rasulullah sabdanya yang maksudnya:

    “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Jika dilihat kembali mengenai puasa, antara perkara sunnah Rasulullah yang disukai ialah melambatkan bersahur kerana sesiapa yang mengakhirkan atau melambatkan sahur pada akhir malam iaitu hampir terbit fajar akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur itu.

    Adapun waktu afdal melambatkan sahur itu kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar. Zaid bin Tsabit r.a. telah meriwayatkan yang maksudnya:

    “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira 50 ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Walau bagaimanapun waktu imsak yang tercatat dalam kalendar (10 minit lebih awal daripada waktu subuh) itu, adalah bertujuan antara lain sebagai langkah berhati-hati agar orang yang berpuasa bersiap sedia untuk menempuh waktu berpuasa seperti membersihkan makanan yang terselit di celah-celah gigi dan seumpamanya.

    Demikianlah penjelasan mengenai waktu imsak bagi menghuraikan kekeliruan segelintir masyarakat.

    Apa yang penting, kita hendaklah berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mengambil maklumat, pengajaran, ilmu lebih-lebih lagi yang menyangkut perkara hukum tanpa menyelidiki kesahihan sumber dan huraiannya. Kita hendaklah merujuk atau bertanya kepada orang yang benar-benar tahu mengenainya agar kita lebih terarah ke jalan yang benar sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan (mengenai kitab-kitab Allah) jika benar kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: 42)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda