LONDON, 25 APRIL – Keganasan di wilayah Darfur, Sudan mempunyai ‘ciri-ciri pembersihan etnik dan mungkin bersamaan dengan jenayah terhadap kemanusiaan,’ kata Menteri Luar United Kingdom (UK), David Lammy.
Lammy menggesa tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) untuk ‘mengurangkan ketegangan dengan segera’ dan berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, bahawa Britain akan terus “menggunakan semua sumber yang ada untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab atas kekejaman yang dilakukan.’
Pengeboman oleh tentera separa terhadap bandar yang terkepung, El-Fasher, bandar Darfur Utara, telah mengorbankan lebih daripada 30 orang awam dan mencederakan puluhan yang lain, kata aktivis pada Isnin.
El-Fasher merupakan satu-satunya bandar utama di wilayah Darfur yang masih di bawah kawalan tentera.
Lammy berkata laporan tentang kekerasan di sekitar El-Fasher adalah ‘mengejutkan’.

“Minggu lepas, UK mengumpulkan komuniti antarabangsa di London untuk menggesa penderitaan rakyat Sudan dihentikan.”
Tambahnya, “Namun, sebahagian daripada kekerasan di Darfur telah menunjukkan ciri-ciri pembersihan etnik dan mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.”
Beliau menggesa RSF untuk ‘menghentikan pengepungan mereka terhadap El-Fasher,’ dan menambah ‘pihak yang bertelagah mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan penderitaan ini.’
Lammy juga menggesa Tentera Sudan untuk membenarkan laluan selamat bagi orang awam mencari tempat perlindungan selamat.
Agensi bantuan antarabangsa telah lama memberi amaran serangan penuh RSF ke atas El-Fasher boleh mencetuskan peperangan bandar dan gelombang perpindahan besar-besaran.
UNICEF telah menggambarkan situasi itu sebagai ‘neraka di bumi’ bagi 825,000 kanak-kanak yang terperangkap di dalam dan sekitar El-Fasher. – AFP