Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekurangan bekalan ambulong akibat proses pengimportan yang terhad

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Ambuyat adalah makanan tradisional yang sudah tidak asing lagi di Brunei dan sering dinikmati beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan.

    Bahan terpenting dalam pembuatan ambuyat ialah Ambulong atau tepung sagu yang diambil daripada pokok rumbia dan baru-baru ini, masyarakat di negara ini digemparkan dengan kekurangan bekalan ambulong yang kelazimannya boleh didapati dengan mudah di gerai-gerai, kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.

    Perkara ini heboh dalam media sosial dan menjadi buah mulut masyarakat apabila mereka sukar untuk mendapatkan ambulong dan ada kalanya dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

    Sejak Mac yang lalu, ketika wabak COVID-19 mula menjejaskan negara ini, beberapa aktiviti di sini termasuklah proses pengimportan barang makanan dan sebagainya ke dalam negara termasuklah penjualan ambulong terbatas.

    Semasa tinjauan ke gerai sayur di Kampung Sengkurong, baru-baru ini, beberapa orang penjaja menjelaskan bahawa masalah kekurangan bekalan ambulong tersebut disebabkan terhadnya proses pengimportan dari negara jiran di mana bahan itu biasa diperolehi.

    Salah seorang penjaja mengongsikan bahawa dua minggu yang lalu mereka telah menerima bekalan ambulong daripada pengedar yang biasanya membekalkan ambulong kepada mereka namun dalam jumlah yang sedikit sahaja.

    Dalam pada itu, kekurangan bekalan ambulong di negara ini juga berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuklah disebabkan penutupan salah sebuah kilang pemprosesan ambulong tempatan yang terletak di negara ini.

    Di negara ini terdapat beberapa buah kilang memproses dan mengeluarkan produk ambulong yang beroperasi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu bagi memenuhi keperluan dan kehendak para pelanggan tempatan di samping pengimportan dari negara jiran.

    Ketika ditanya, wakil kilang berkenaan menyatakan bahawa mereka mungkin akan mula beroperasi apabila bangunan kilang baharu siap dibina pada tahun hadapan.

    Adalah menjadi harapan bersama agar masalah kekurangan salah satu bekalan makanan asasi tradisional tempatan ini dapat diatasi dan diselesaikan dengan segera dan negara terhindar daripada wabak COVID-19 secepatnya agar semua aktiviti boleh berjalan seperti kebiasaannya.

    Ambuyat pada kebiasaannya disaji dan dimakan secara tradisional bersama variasi jenis cecah seperti binjai, membangan, tempoyak, belacan dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda