RAMALLAH – Meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU), Oday Nasser telah menjadi penjaga gawang hebat yang dikenali ramai di Tebing Barat, dan berjaya memenangi puluhan pingat dalam liga bola sepak tempatan.
Lelaki berusia 26 tahun itu, yang dilahirkan tanpa lengan kanannya, telah bermain untuk kelab Deir Sharaf dari bandar Nablus, sementara semua rakan sepasukannya tidak mengalami sebarang kecacatan.
“Tidak mudah untuk mendapatkan posisi ini, lebih-lebih lagi seorang penjaga gawang harus melakukan segalanya untuk menghalang bola masuk ke pintu gawang,” kata Nasser kepada Xinhua, ketika mengenakan jersi pasukannya sebelum memulakan sesi latihan.
“Pada mulanya, saya sedih apabila orang lain memandang saya, termasuk saudara-mara saya, yang merasa kasihan kepada saya dan menganggap saya tidak dapat bermain bola sepak kerana ketidakupayaan saya,” kata pemuda itu ketika mengenangkan kisah lalu.
Namun, anggapan tersebut segera hilang dan rasa kasihan tidak menghalangnya untuk mengejar cita-citanya menjadi pemain bola sepak profesional.

Pada awalnya, Nasser bermain bola sepak di sekolah sehingga dia menarik tumpuan guru sukannya, yang menghargai kemampuannya menjaga pintu gawang dan tidak membiarkan sesiapa pun menjaringkan gol. Ketika itu, Nasser baru berusia 10 tahun.
Nasser bermain perlawanan rasmi pertamanya di Tebing Barat pada tahun 2015. Selepas itu, dia menyertai 22 liga di peringkat gabenor Palestin.
Sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di Tebing Barat, Nasser telah memenangi tiga piala dan puluhan pingat, termasuk emas, perak dan gangsa.
Untuk mengembangkan kemahiran bola sepaknya, Nasser komited untuk berlatih selama hampir lima jam sehari, mendapat pujian dari jurulatih atas ketahanan dan kreativitinya dalam menangkap bola.
“Kehilangan anggota badan anda tidak bermaksud kehilangan semangat untuk hidup atau menjadi beban keluarga atau masyarakat,” kata Nasser.
“Apabila kehidupan mengambil sesuatu yang penting dari kita, itu juga memberi kita kekuatan di tempat lain,” katanya.
Nasser menyatakan kekesalannya terhadap sikap masyarakat Palestin terhadap golongan OKU, yang sering diperlakukan sebagai orang kelas kedua. Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, OKU di Palestin membentuk 2.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Prestasi Nasser dipuji oleh jurulatihnya, Ahmed Antary, yang mengatakan “dia berbeza disebabkan kemampuannya yang tinggi ketika melompat dan menangkap bola, serta fleksibilitinya yang tinggi.
“Nasser berjaya mencapai kedudukan ini dalam masa amat singkat sejak dia menyertai kelab kami. Dia membuktikan dirinya dan mampu menggalas tugas sebagai penjaga gawang rasmi kelab, dan sekarang kami tidak dapat melakukannya tanpanya dengan cara apa pun,” kata Antary.
Apabila tidak ada pertandingan, Nasser bekerja sebagai pekerja pembinaan untuk memenuhi keperluan.
“Bermain bola sepak adalah kunci bagi saya untuk meyakinkan orang bahawa saya boleh bekerja dan menjana wang,” katanya sambil tersenyum.
“Saya mempunyai azam untuk menjalani hidup saya secara normal tanpa bergantung pada siapa pun,” tegasnya, sambil menambah dia sedang berusaha untuk berkongsi pengalamannya dengan OKU untuk mendorong mereka memanfaatkan potensi dan membuktikan diri mereka.– Xinhua