FRANKFURT, 30 SEPT – Opel akan menutup salah sebuah kilangnya di Jerman sehingga ‘awal tahun 2022’ ketika kekurangan bekalan cip global menangguhkan pengeluaran, kata jurucakap pengeluar kereta itu hari ini.
Industri kereta mendapati dirinya berada dalam ‘situasi luar biasa disebabkan pandemik koronavirus dan kekurangan semikonduktor di seluruh dunia,” kata jurucakap.
“Dalam situasi terdesak ini, Stellantis merancang menyelaras pengeluarannya,” kata jurucakap, merujuk kepada syarikat induk Opel.
Kilang di Eisenach, tengah Jerman, akan menghentikan pengeluaran bermula minggu depan dan ‘dibuka semula pada awal 2022, sehingga situasi rantaian bekalan kembali normal.’ Pekerja di kilang di Eisenach akan diberi cuti dari bertugas, sementara kilang ditutup.
Seperti negara lain, Jerman sedang bergelut dengan kekurangan bahan mentah utama termasuk plastik, keluli dan kayu balak.
Industri kereta negara telah terjejas teruk akibat kekurangan bekalan semikonduktor, komponen penting dalam kenderaan konvensional dan elektrik, justeru memaksa pengeluar kereta mengurangkan pengeluaran. – AFP
