TUNIS – Di pusat bandar Tunis, berpuluh-puluh pelanggan beratur panjang keluar dari pasar raya untuk membeli gula, penting untuk sambutan penghujung Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Ramuan utama untuk manisan tradisional yang dihidangkan untuk menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan kini dicatukan kepada satu hingga dua kilogram setiap pelanggan setiap minggu.
“Saya tidak pernah menyangka satu hari nanti kami akan beratur di Tunisia untuk membeli gula,” kata Lamia Bouraoui, 58.
Seperti bahan makanan asas lain di Tunisia, gula disubsidi oleh kerajaan.
Namun kekurangan dana dalam tabung awam negara Afrika Utara itu menyebabkannya dan keperluan masakan lain seperti tepung dan semolina berkurangan sejak akhir 2022.



Untuk sambutan Aidilfitri yang menandakan berakhirnya Ramadan, keluarga-keluarga di seluruh Afrika Utara membuat banyak manisan dan pastri yang selalunya bertahan
selama beberapa hari.
Tanpa gula yang mencukupi, “kita kehilangan kesenangan tahun ini,” tambah Bouraoui.
Ada yang seperti Sami, 40, beratur untuk mendapatkan gula sambil ditemani ahli keluarga untuk menambah catuan yang boleh dinikmati keluarganya.
“Satu hari kami beratur untuk tepung, satu lagi untuk semolina dan satu lagi untuk
gula,” katanya.
Kekurangan itu juga memberi tamparan kepada kedai-kedai roti.
“Kami bergantung kepada gula dalam semua yang kami lakukan,” kata Chokri Bouajila, seorang pekerja kedai roti di Tunis, kepada AFP.
“Jika kita mempunyai gula, kita boleh bekerja, jika tidak, kita tidak boleh berbuat apa-apa.”
Bouajila, yang pakar dalam manisan tradisional Tunisia, berkata bahawa pelanggan semakin kurang membeli pastrinya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Tunisia telah melihat kuasa membeli mereka sangat berkurangan berikutan inflasi, kemelesetan dan peningkatan pengangguran.
Negara berpenduduk 12 juta itu sedang bergelut dengan hutang bernilai kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan keluaran ekonominya, dan purata inflasi antara lapan hingga 10 peratus setahun.
Satu pertiga daripada penduduknya dianggarkan hidup di bawah garis kemiskinan.
Di pusat membeli-belah, barisan hanya menjadi lebih panjang.
“Saya telah berada di sini sejak 35 minit yang lalu,” kata Hassna, 40, seorang pelanggan yang menunggu dalam barisan untuk mendapatkan gula.
“Kenapa kita melalui semua ini? Bagaimana kita boleh sampai ke sini?”
“Mari kita bersyukur kepada Tuhan,” seorang lelaki yang berdiri berdekatan memberitahunya, “Kita berada dalam keadaan yang lebih baik daripada saudara-saudara
kita di Gaza yang mati kelaparan.”
Namun begitu, yang lain berharap dapat membuat yang terbaik dalam cabaran terbaharu negara itu.
Nayla, seorang pembeli yang mengelilingi pusat beli-belah, berkata dia lebih suka mengubah tabiatnya daripada beratur untuk mendapatkan gula, sambil menunjukkan bahawa ia bukanlah ramuan yang paling sihat.
“Kopi pahit tidak mengganggu saya lagi,” katanya. – AFP

