Saya seorang penggemar koleksi buku dan sering menjadikan kedai buku sebagai tempat mencari inspirasi.
Namun, apa yang saya perhatikan, jumlah kedai buku di Negara Brunei Darussalam tidak bertambah-tambah sejak sekian lama.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana kedai buku bukan sekadar tempat membeli bahan bacaan, tetapi juga ruang yang menyemai budaya ilmu dan menghargai karya sastera tempatan.
Walaupun bacaan digital semakin meluas, kedai buku fizikal tetap mempunyai peranan penting sebagai pusat interaksi antara pembaca, penulis dan penerbit.
Ketiadaan pertumbuhan dalam sektor ini menunjukkan perlunya sokongan lebih kukuh sama ada melalui galakan membaca, bantuan kepada penerbit tempatan, mahupun penganjuran pesta buku berskala nasional atau kecil-kecilan.
Saya percaya, jika masyarakat dan pihak berwajib bersama-sama menghidupkan semula semangat membaca, kedai buku akan kembali menjadi nadi budaya ilmu di Brunei.
Buku bukan sekadar sumber pengetahuan, tetapi cerminan tamadun dan jiwa bangsa.
Sis Bibliofilia







