Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 21 MAC – Pasukan Bola Sepak Manggalela selaku pasukan veteran dari Daerah Belait telah menghulurkan bantuan sepanjang bulan Ramadan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, sekali gus menyerahkan sejumlah $630 kepada Kolej Anthony Abell (AAC) Seria, pada 19 Mac lalu.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Timbalan Pengurus Pasukan Bola Sepak Manggalela, Haji Affendy bin Haji Sabli kepada Timbalan Pengetua Pentadbiran AAC, Elmi Suhardi bin Haji Rohani.
Turut hadir Pengetua AAC, Mas Diana binti Haji Samat; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Suhaini bin Haji Othman; serta salah seorang wakil pemain daripada pasukan bola sepak, Sharin bin Haji Masri.


