Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelab Eropah belanja sakan

    PARIS, 30 Julai – Dengan kelab-kelab Eropah bersedia untuk musim baharu ini, mereka telah menjadi tumpuan di pasaran perpindahan pemain termasuk perpindahan mengejutkan Cristiano Ronaldo ke Juventus dan Gianluigi Buffon ke PSG.

    Pihak AFP Sport melihat kepada lima pemain yang berhijrah ke kelab lain yang mungkin akan memberikan impak yang besar. Salah satunya yang menjadi tumpuan dunia adalah perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus dengan nilai perpindahan 100 juta euro.

    Pengakhiran penguasaan Ronaldo di Real Madrid telah mengejutkan dunia bola sepak. Pemain 33 tahun itu bagaimanapun telah memberi bayangan untuk meninggalkan gergasi Sepanyol itu selepas menjuarai Liga Juara-Juara ketiga menewaskan Liverpool tetapi perpindahan ke Itali tidak dijangka-jangkakan.

    Ketibaan penjaring terbanyak Liga Juara-Juara itu sudah setentutnya akan meningkatkan harapan kelab gergasi Turin itu untuk menjuarai kejohanan Eropah buat pertama kali sejak 1996.

    Ada yang mengatakan bahawa pencapaian terbaik Ronaldo telah berakhir tetapi penampilannya sebelum ini menunjukkan sebaliknya. Ketua pasukan Portugal itu mengumpul 44 gol untuk Real dalam setiap kejohanan musim lepas sebelum menjaringkan empat gol di Piala Dunia, termasuk hatrik ketika menentang Sepanyol dan tidak dinafikan akan membawa sesuatu ke Juventus dalam dan luar padang.

    Gambar yang diambil pada 16 Julai 2018 menunjukkan Ronaldo memberi isyarat bagus kepada peminat sejurus tiba untuk pemeriksaan perubatan di Turin, Itali. – AP
    Buffon semasa didedahkan secara rasmi di Stadium Parc des Princes, Paris pada 9 Julai 2018. – AP

    Sementara itu, perpindahan pemain yang juga dijangkakan adalah perpindahan Gianluigi Buffon ke Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma. Sementara Ronaldo memburu untuk merangkul gelaran Liga Juara-Juara dalam tiga negara yang berbeza, Buffon berharap akan meraih trofi itu buat pertama kali beraksi di luar Itali.

    Pemain berusia 40 tahun itu dijangka bersara pada akhir musim lepas tetapi memutuskan untuk mencuba memburu kejuaraan Eropah bersama PSG. Buffon akan terlepas tiga perlawanan Liga Juara-Juara selepas membidas pengadil Inggeris, Michael Oliver susulan sepakan penalti lewat Ronaldo yang menyaksikan Juve tewas kepada Real pada suku akhir April lalu.

    Buffon mungkin akan membarisi skuad PSG semasa menghadapi perlawanan besar tetapi dengan kualiti yang ada pada Ligue 1 itu, ia merupakan peringkat yang sesuai dalam kariernya, dengan pemain antarabangsa Perancis, Alphonse Areola yang berkebolehan untuk mengisi barisan skuad utama sekali gus memberikannya masa rehat apabila berdepan dengan kelab-kelab bawah.

    Manakala di Liga Perdana Inggeris, Liverpool telah mengorak langkah untuk mencari penjaga gol baharu dengan perpindahan Alisson dari Roma dengan nilai 72.5 juta euro susulan penampilan Loris Karius yang teruk di final Liga Juara-Juara yang menyaksikan Liverpool tewas kepada Real Madrid.

    Pengurus Jurgen Klopp sudah lama terkait dengan penjaga gol nombor satu Brazil, Alisson dan penjaga gol berusia 25 tahun itu meninggalkan Roma selepas Piala Dunia dengan rekod perpindahan untuk seorang penjaga gol.

    Penyokong Liverpool berharap, Alisson dapat membantu kelab itu meraih gelaran pertama dalam tempoh 29 tahun.

    Di Manchester City pula, harapan Riyad Mahrez untuk berpindah ke juara Liga Perdana itu tercapai dengan nilai 67.5 juta euro. Kelab kendalian Pep Guardiola itu akan menjadi pilihan utama bagi gelaran Liga Perdana selepas kelihatan dominan pada musim lepas. City tidak henti-henti berbelanja dan mendapatkan Mahrez dari Leicester selepas gagal mendapatkan pemain itu pada Januari lalu,

    Meskipun berpindah dengan harga yang lumayan, Mahrez tidak akan secara automatik tersenarai dalam kesebelasan utama dengan Leroy Sane, David Silva dan Bernardo Silva. Tetapi dengan adanya kehadiran beliau, City akan mempunyai banyak pilihan dalam skuad.

    Sementara itu, pemain yang turut mendapat tumpuan adalah Thomas Lemar yang menyertai Atletico Madrid dari Monaco dengan nilai 100 juta euro. Atletico Madrid memeterai perjanjian untuk mendapatkan Lemar dari Monaco dua hari sebelum kempen Piala Dunia bermula.

    Pemain berusia 22 tahun itu hanya beraksi satu perlawanan di Rusia dan hanya mencatat tiga gol dalam 38 perlawanan musim.

    Tetapi Lemar mempunyai kebolehan untuk menunjukkan penampilan yang mantap pada 2014 sebelum mengalami beberapa siri kecederaan dan Atletico teruja mendapatkan pemain antarabangsa Perancis itu di mana Atletico cuba untuk menyaingi Barcelona dan Real di Sepanyol.

    Dalam perkembangan lain juga, bekas pemain Manchester United, Anderson telah menyertai kelab Liga Pertama Turki, Adana Demirspir bagi perjanjian tiga tahun, menurut pengumuman kelab itu hari ini.

    Anderson yang membuat penampilan sebanyak 181 kali bersama Manchester United, disambut oleh pengerusi kelab dari Selatan Turki, Murat Sancak, menurut kenyataan yang diberikan.

    Liga Pertama merupakan divisyen dua bola sepak Turki selepas Liga Super dan Adana Demirspor berharap Anderson akan membantu kelab itu dinaikkan ke tahap yang lebih tinggi selepas berakhir di kedudukan ke-12 musim lepas. pemain berusia 30 tahun itu telah menjuarai lima gelaran Liga Perdana Inggeris.

    Selepas beraksi di Old Trafford, Anderson pernah beraksi bersama kelab Brazil, Internacional. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda