ROME, 26 April – Persatuan Kelab Eropah pada Khamis berkata ia akan mengadakan perhimpunan agung pada bulan Jun untuk membincangkan cadangan kontroversi merombak pertandingan kelab-kelab Eropah.
Dalam satu kenyataan, badan yang mewakili kelab-kelab liga Eropah berkata, pertemuan di Malta pada 6 hingga 7 Jun ini ‘sesuai dengan kehendak jelas lembaga ECA untuk mengekalkan proses di sekitar pertandingan kelab UEFA pasca 2024 yang dilakukan secara telus, langsung dan menarik’.
Cadangan untuk menukar Liga Juara-Juara selepas 2024 telah mencetuskan bangkangan daripada beberapa liga bola sepak utama Eropah.
Liga Juara-Juara yang dirombak akan menampilkan empat kumpulan lapan pasukan dalam fasa permulaan berbanding lapan kumpulan empat pasukan dalam format semasa, menurut laporan media.
Enam pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak untuk edisi tahun berikutnya tanpa mengira di mana mereka selesai dalam pertandingan domestik, menurut laporan.
Walau bagaimanapun, dalam surat yang dialamatkan kepada 232kelab anggota ECA pada Rabu dan dilihat oleh AFP, presiden ECA Andrea Agnelli (gambar bawah) yang juga pengerusi Juventus merujuk kepada ‘spekulasi dan khabar angin yang salah’ dalam media sambil berkata ‘tidak ada cadangan konkrit’ untuk perubahan itu yang telah dipersetujui.
Rancangan perubahan yang telah mencetuskan kebimbangan di seluruh Eropah dan liga di rantau ini yang menganjurkan pertandingan domestik menjuruskan 900 kelab untuk bertemu di Madrid dari 6 hingga 7 Mei bagi membincangkan cadangan itu.
Agnelli memberitahu anggota ECA dia menentang perbincangan Madrid dan menggesa mereka supaya tidak hadir. Pada hari berikutnya, badan bola sepak Eropah UEFA menjadi tuan rumah perwakilan liga Eropah di ibu pejabatnya di Nyon untuk menangani perubahan itu. – AFP