TOKYO, 28 Jun – Bintang handalan Itali, Francesco Totti yang baru-baru ini dalam kesedihan mengucapkan selamat tinggal kepada Roma setelah 25 tahun beraksi di kelab itu sejak usia mudanya lagi, diperlukan oleh Tokyo Verdy, Jepun, para pegawai memberitahu AFP hari ini.
Pasukan divisyen dua J-League telah membuat tawaran berani kepada pemenang Piala Dunia itu, meskipun mereka berdepan persaingan antara lainnya dari Miami FC, Major League Soccer (MLS) yang juga ingin menggunakan khidmat Totti.
“Timbul minat daripada pihak Totti,” kata jurucakap Verdy, Yuya Kurabayashi. “Kelab itu sedang mencari jalan untuk mengumpul wang yang diperlukan untuk menggunakan khidmat pemain itu berserta dengan penaja-penaja kami.”
Presiden Verdy, Hideaki Hanyu dipetik sebagai berkata oleh media Itali bahawa Totti telah meminta urusan bernilai tiga juta euro, tetapi Verdy enggan mengesahkan butiran tawaran mereka.
“Kami tidak sekaya (Vissel) Kobe atau (Urawa) Reds, justeru itu kami tidak boleh mencari mana-mana pemain di pasaran,” akui Kurabayashi, dengan menambah kata Miami yang mana jurulatihnya adalah rakan rapat Totti, Alessandro Nesta juga mengatasi Verdy dari segi kewangan.

“Adalah sukar, tetapi kami sedang mencari pilihan lain supaya urusan itu berjaya.”
Totti telah membuat 786 kemunculan dan menjaringkan 307 gol bagi Roma dalam tempoh karier selama 25 tahun dan telah memenangi Piala Dunia bersama Itali pada tahun 2006. – AFP