TOKYO, 17 Julai – Kelab Jepun, Tokyo Verdy, telah menghentikan usaha mereka untuk menandatangani bintang super Itali, Francesco Totti, selepas isterinya menolak satu perpindahan ke Timur itu, menurut media setempat.
“Akhirnya dia gagal mendapatkan restu keluarganya,” kata presiden Verdy, Hideaki Hanyu kepada akhbar Jepun, Nikkan Sports, mendakwa isteri selebriti Totti, Ilary Blasi telah menjadi faktor utama dalam kegagalan pemburuan mereka bagi pemenang Piala Dunia berusia 40 tahun itu.
“Saya rasakan kami tidak ada pilihan selain berhenti,” tambah Hanyu. “Saya sudah bersedia untuk terbang ke Itali esok. Saya tidak gembira dengan ejen itu, tetapi ini adalah pengalaman yang sangat berharga.”
Totti, yang baru-baru ini telah membuat perpisahan dengan Roma selepas 25 tahun bersama kelab itu, telah dikaitkan dengan Major League Soccer (MLS), dengan Miami FC, yang dilatih oleh rakan baik Totti, Alessandro Nesta, antara yang mahu merebut tandatangannya.
Verdy, pernah beraksi dalam liga utama Liga-J tetapi kini berada di peringkat kedua liga, telah melancarkan bidaan mengejut pada bulan lepas.

“Saya benar-benar mahu menyaksikan Totti menyarungkan jersi Verdy,” kata Hanyu. “Ia pasti menarik. Tetapi ia berakhir tanpa perlu kami duduk semeja.”
Kelab divisyen pertama Jepun, Vissel Kobe melawan trend barisan pemain terkemuka ke China apabila mereka menandatangani pemenang Piala Dunia Jerman, Lukas Podolski awal tahun ini.
Pembelian Kobe bagi bekas penyerang Arsenal itu juga menggambarkan satu tindakan cemerlang bagi Liga-J, yang sebelum pernah menarik pemain-pemain hebat seperti Zico dan Gary Lineker ketika ia dilancarkan pada tahun 1993, tetapi ia kini bergelut mendapatkan nama-nama besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP