PARIS, 6 NOV – Viktor Gyokeres mencatat hatrik ketika Sporting kendalian Ruben Amorim mengejutkan Manchester City dengan kemenangan 4-1 dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Sporting mencuri tumpuan dengan persembahan hebat mereka di Lisbon, tetapi juara Portugal itu terpaksa bangkit dari belakang selepas Phil Foden meletakkan City di hadapan pada awal perlawanan.
Amorim berharap untuk mencipta kenangan manis dalam saingan Liga Juara-Juara sebagai jurulatih Sporting sebelum dia pergi ke Manchester United, dan Gyokeres kemudiannya menjadi tumpuan utama.
Penyerang Sweden itu menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum separuh masa, menahan asakan pemain yang membuat penampilan sulung di Liga Juara-Juara, Jahmai Simpson-Pusey ketika dia berlari untuk menyempurnakan penyudahnya.
Sporting kemudian mendahului 19 saat memasuki separuh masa kedua apabila Maximiliano Araujo menamatkan satu gerakan cantik, dan tidak lama selepas itu Gyokeres menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran oleh Josko Gvardiol.
City berpeluang merapatkan jurang, tetapi rembatan Erling Haaland terkena palang dari sepakan penalti. Gyokeres menunjukkan cara yang betul kepada Haaland ketika dia menjaringkan penalti keduanya untuk melengkapkan hatrik, sekali gus memberikan City kekalahan terbesar mereka di Eropah sejak tewas 3-0 kepada Liverpool pada April 2018.
Gyokeres menjaringkan 23 gol dalam 17 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini dan pastinya akan menjadi bintang seterusnya yang meninggalkan Sporting untuk kelab yang lebih besar selepas pemergian Amorim.
“Ia seolah-olah telah ditakdirkan untuk berlaku seperti ini, saya rasa tidak ada penjelasan lain,” kata Amorim, yang berada di Sporting sejak 2020, mengenai kemenangan yang terkenal itu. – AFP