Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelab motosikal BBC adakan mesyuarat pertama AJK

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Kelab Bersatu Bikers Club (BBC) telah mengadakan Mesyuarat Pertama Ahli Jawatankuasa Tadbir bagi sesi 2025–2027 di sebuah hotel di Jerudong kelmarin, yang dihadiri seramai 14 ahli jawatankuasa tadbir.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua BBC, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara berjemaah, sebelum penyampaian ucapan alu-aluan oleh pengerusi kepada semua yang hadir.

    Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang hadir atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sambil menyatakan harapan agar BBC akan terus aktif dan bergerak seiring bagi menyatupadukan seluruh ahli kelab, termasuk menghubungi semula ahli-ahli yang tidak lagi aktif bagi mengenang kembali penglibatan mereka sejak awal keahlian.

    Setakat ini, BBC telah menerima seramai 182 orang ahli berdaftar, dan pelbagai aktiviti rasmi serta tidak rasmi telah dirancang untuk dilaksanakan dengan sokongan padu daripada semua ahli kelab.

    Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada mantan Yang Di-Pertua BBC sebagai tanda penghormatan atas jasa dan sumbangan beliau sebelum ini. Penyampaian Sijil Lantikan kepada ahli jawatankuasa tadbir baharu juga turut berlangsung.

    Usaha untuk memperkukuh peranan BBC sebagai kelab motosikal yang aktif menyumbang kepada imej positif negara turut dibincangkan. Antara yang dirancang termasuk penyertaan dalam acara mingguan motosikal di peringkat serantau.

    BBC dijangka akan mengambil bahagian dalam mingguan motosikal yang bakal diadakan di Bandar Raya Miri, Sarawak pada bulan Ogos nanti, sebagai salah satu langkah memperluas jaringan kelab dan memperkenalkan BBC di peringkat antarabangsa.

    Sausana semasa mesyuarat berkenaan.
    Penyerahan sijil kepada mantan Yang Di-pertua.
    Sesi bergambar ramai semasa mesyuarat berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda