Kelab Norway lancar jersi kod QR

OSLO, 6 DIS – Kelab Norway Tromso IL hari ini memperkenalkan apa yang digelarnya ‘jersi bola sepak pertama di dunia dengan kod QR’ bertujuan mempertahankan hak asasi manusia di Qatar sebelum Piala Dunia 2022.

Jersi itu, dicipta dengan kerjasama Amnesti Antarabangsa, memaparkan kod QR yang, apabila diimbas, membawa pengguna ke laman web dengan maklumat mengenai hak asasi manusia dan ‘sportswashing’, di mana negara cuba membersihkan imej mereka dengan menganjur acara sukan.

“Dengan memperkenalkan jersi ini, kami berharap untuk mencetuskan lebih banyak perbincangan, lebih banyak perdebatan. Kami mahu melihat lebih banyak tindakan,” kata Tom Hogli, bekas pemain yang kini bertugas sebagai pegawai perhubungan awam di Tromso IL semasa beliau melancarkan jersi tersebut.

Pasukan divisyen pertama akan memakai jersi itu dalam saingan terakhir liga Norway pada Ahad menentang Viking sebelum rehat musim sejuk.

Tromso berkata ia merupakan kelab profesional pertama yang berusaha memulau Piala Dunia di Qatar pada Februari, untuk membantah keadaan pekerja migran di negara itu. – AFP