Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 31 Ogos – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus mendekati masyarakat, ahli-ahli Kelab Rotary Daerah Belait terus menganjurkan aktiviti melawat masyarakat yang kurang bernasib baik dan memerlukan di seluruh negara.
Sementara itu, hari ini, kelab berkenaan mengadakan aktiviti melawat ke Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria yang melibatkan penyertaan Gabenor Rotary Antarabangsa Daerah 3310, Henry Tan dari Singapura bersama isteri, Wanita Utama Gabenor Rotary Antarabangsa Daerah 3310, Ellen Tan dan salah seorang ahli Kelab Rotary Daerah Belait, Helen Tang.
Lawatan gabenor tersebut antara lain bertujuan untuk meninjau beberapa projek yang dikendalikan oleh Kelab Rotary Daerah Belait dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan, termasuklah kepada penghuni di rumah orang-orang tua itu yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dan juga warga emas.

Semasa ditemui Media Permata, Henry Tan menyatakan, sebagai gabenor baharu dilantik bulan lalu, beliau telah melaksanakan beberapa tugasan termasuk membuat lawatan kepada lebih 70 buah Kelab Rotary di bawah Daerah 3310 termasuk di Negara Brunei Darussalam, selain Labuan, Sabah, Sarawak, Singapura dan Melaka Semenanjung Malaysia.
Dalam lawatan itu, beliau melihat banyak kegiatan seperti menyediakan kemudahan dalam membantu mereka yang memerlukan dilaksanakan dengan baik terutama kepada kalangan warga emas dalam membantu menceriakan mereka terutama yang hidup dengan cabaran tanpa saudara-mara terdekat di sisi mereka.
Semasa kunjungannya di Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria, beliau dan isteri telah berkesempatan beramah mesra dengan penghuni pusat tersebut selain turut menghulurkan sumbangan cenderahati berbentuk sampul merah (angpau) yang dihasratkan untuk menggembirakan mereka dan membantu meringankan beban mereka.