Oleh Daniel Lim
BELAIT, 20 JUN – Sempena meraikan sambutan Hari Yoga Antarabangsa ke-11, Bahagian Yoga Kelab Panaga menganjurkan satu sesi selama seminggu dari 16 hingga 21 Jun.
Pengerusi bahagian kelab, Venkata Ramana Rao Suryadevar, berkongsi bahawa inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Bahagian Yoga untuk menyebarkan manfaat transformatif yoga serta menjadikan perayaan tahun ini lebih bermakna dan inklusif berbanding sebelumnya.
Turut menyertai sesi adalah Chargé d’Affaires di Suruhanjaya Tinggi India, SDK Menon yang hadir semasa perayaan kelab pada 18 Jun.
Beliau turut memuji dedikasi pengajar yoga, pengamal, dan penganjur atas usaha mereka dalam memupuk kesejahteraan melalui yoga.
Dengan tema global tahun ini, Yoga untuk Satu Dunia, Satu Kesihatan, Menon mengingatkan semua terhadap potensi yoga yang boleh membawa perpaduan dan penyembuhan merentas komuniti.
Menon turut menyampaikan jemputan kepada ahli komuniti Panaga dan orang ramai untuk menghadiri perayaan utama yang diadakan pada esok pagi, 21 Jun di India House, Kediaman Pesuruhjaya Tinggi India, Jalan Kota Batu.
“Yoga melangkaui senaman fizikal semata-mata. Ia adalah sains yang mendalam dan abadi yang telah berakar umbi dalam kebijaksanaan kuno India,” kata Menon sambil menambah bahawa, “Dalam dunia yang semakin dicabar oleh tekanan dan kebimbangan kesihatan, yoga menawarkan laluan yang mantap kepada kedamaian dalaman, daya tahan dan kesejahteraan holistik.”
Turut diadakan adalah acara perpisahan Setiausaha dan Pengajar Bahagian Yoga, Maria Gabriela Perdomo (Gaby) yang telah memainkan peranan penting dalam kelab sejak Februari 2024.
Beliau berbesar hati apabila sumbangannya yang tidak ternilai telah dihargai oleh peserta dengan hadiah sejambak bunga bersama dengan cenderahati peringatan oleh Menon kepada Gaby dan juga rakan pengajar, Emily atas dedikasi dan perkhidmatan mereka.


