Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelangsungan drama radio

    MANILA – Berdiri di hadapan mikrofon, pelakon suara Phil Cruz berpura-pura menggunakan azimat untuk mengalahkan kuasa jahat untuk siri terbaharu salah satu daripada beberapa drama radio Filipina yang masih hidup.

    Cruz ialah sebahagian daripada pasukan kecil pelakon suara dan juruteknik yang menghasilkan rancangan yang disiarkan dalam bahasa Tagalog oleh DZRH, salah satu stesen radio tertua di negara ini.

    Drama radio merupakan sumber hiburan utama bagi keluarga Filipina selepas Perang Dunia Kedua, sama seperti seluruh dunia, namun popularitinya pudar dengan kebangkitan televisyen, media sosial dan penstriman langsung video.

    Ramai pendengar lama, termasuk pesara, petani, pekerja kilang dan pemandu teksi, masih menonton episod terbaharu genre seram atau drama kegemaran mereka.

    “Kami sahaja yang tinggal,” kata Cruz, 64, semasa rehat rakaman di sebuah studio moden yang terletak di taman tema Manila.

    Petani, Henry Amadure memotong rumput di ladangnya sambil mendengar drama radio di sebuah kampung di Silang, wilayah Cavite, pada 4 Oktober lalu. – AFP
    Gerry Mutia menggunakan daun untuk kesan bunyi semasa rakaman drama radio. – AFP
    Pelakon suara merakam bahagian mereka untuk drama radio di sebuah studio stesen radio di Manila. – AFP
    Gerry Mutia menggunakan tempurung kelapa untuk kesan bunyi semasa rakaman drama radio di sebuah studio stesen radio di Manila. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Cruz mengikuti bapanya ke dalam lakonan suara pada 1979, ketika DZRH menyiarkan 18 program drama selama sembilan jam sehari dalam persaingan sengit dengan penyiar lain.
    Kini ia menghasilkan tujuh program.

    Antaranya ialah Night of Horror, siri tertua stesen itu yang telah menakutkan penonton selama 66 tahun dengan kisah syaitan, pontianak dan rangka pembunuh.

    Cinta, keluarga dan kemiskinan adalah antara tema yang ditangani dalam drama-drama lama lain seperti You’re My Only Life dan This Is Our Life.

    Gerry Mutia menghasilkan kesan bunyi yang membantu pendengar membayangkan cerita dan walaupun banyak yang boleh dijana komputer, dia masih lebih suka ‘cara
    lama’.

    Mutia menyimpan sekotak objek di dalam studio untuk meniru bunyi; tempurung
    kelapa untuk kuda yang berlari, bolt pintu untuk menyandarkan pistol, dan menghentakkan kakinya dalam kotak daun untuk jejak kaki di hutan.

    Dia juga menggunakan suaranya sendiri untuk bunyi kucing.

    “Komputer boleh meniru bunyi tamparan tetapi lebih realistik melakukannya dengan cara lama,” kata Mutia, menunjukkan demonstrasi dengan menyatukan sepasang tapak kasut getah lama.

    Keindahan radio ialah ia mencapai ‘semua orang, malah orang miskin’, kata Rosanna Villegas, 63. Dia, seperti Cruz, mengikuti jejak bapanya yang merupakan pelakon radio
    ke dalam industri tersebut.

    “Ia adalah satu cara hiburan, lebih baik daripada apa yang mereka tonton di TV atau filem,” katanya.

    “Mereka (peminat) memberitahu kami tekanan mereka hilang.”

    PENEMAN DI LADANG

    Antara peminat setia pasukan DZRH ialah Henry Amadure, yang tinggal sendirian di ladang kira-kira 60 kilometer di selatan Manila.

    Amadure mendengar Janji Esok di radio kecil yang selalu dibawanya ke ladang sambil menebas lalang di sekeliling pokok talas. Siri ini adalah tentang persahabatan antara seorang pelajar universiti yang miskin dan rakan sekelasnya yang kaya.

    “Ia menggembirakan saya dan menemani saya kerana saya bekerja sendirian,” kata Amadure, 58, yang diperkenalkan kepada drama radio oleh datuknya ketika remaja.

    “Kadang-kadang awda mengambil pengajaran hidup daripadanya.”

    Amadure, yang berpisah dengan isterinya, membelanjakan 74 peso (AS$1.30) seminggu untuk membeli bateri bagi memastikan radio diputarkan sepanjang hari semasa bekerja di ladangnya seluas empat hektar.

    Seperti petani lain di kawasan itu, dia tidak mempunyai bekalan elektrik.

    Jirannya Cristiteta Arpon, 35, berkata drama radio adalah “satu-satunya hiburan kami”.

    “Kami akan sedih jika ia hilang. Ia adalah teman harian kami dan satu-satunya perkara yang menggembirakan kami,” kata ibu kepada empat anak itu. “Kami tidak perlu membazir wang” membeli akses Internet untuk media sosial atau YouTube.

    CARI PEMINAT BAHARU

    Pelakon suara DZRH memberitahu AFP bahawa mereka tidak mempunyai latihan formal untuk drama radio dan telah meningkatkan kemahiran mereka dengan memerhatikan pendahulu mereka.

    Kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan lain seperti mengalih suara drama televisyen Mexico dan Korea atau melakukan suara latar.

    Cabaran bagi baki drama radio adalah untuk menarik pendengar generasi baharu.

    DZRH telah beralih kepada media sosial, memuat naik episod ke YouTube dan berkongsi pautan di Facebook, X dan TikTok.

    “Kami mempunyai penonton yang berbeza-beza tetapi memang benar ramai daripada mereka juga semakin tua,” kata Cruz.

    “Kita perlu menghasilkan bahan yang menyasarkan orang muda.”

    Villegas optimis bahawa drama itu akan bertahan.

    “Bagi saya, radio adalah selamanya,” katanya. “Ia tidak akan hilang kerana ia mempunyai penonton yang begitu luas.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda