Kelantan FC sasar ke suku akhir

KOTA BHARU, 23 SEPT – Kelantan FC bukan pasukan belasahan dan menyasarkan untuk mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia yang membuka tirai Ahad ini.

Laungan keyakinan oleh pemilik pasukan, Norizam Tukiman adalah sebagai amaran buat pasukan terbaik Liga Super dan Liga Premier yang akan berentap supaya tidak memandang rendah keupayaan The Red Warriors (TRW).

“Jika dapat melangkah ke separuh akhir ia pasti satu bonus kepada skuad ini kerana kita akui pada pertandingan itu nanti TRW akan berdepan barisan pasukan terbaik negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Norizam gembira dengan pencapaian ditampil pasukannya pada saingan Liga Premier musim ini kerana jelas walaupun bukan dilabel pasukan ‘bintang’, di bawah pengurusan baharu, persembahan yang dipamerkan pemain masih boleh dibanggakan.

“Kita gembira kerana pada awal musim pengurusan menyasarkan skuad berada dalam lima pasukan terbaik Liga Premier namun kita berada di tangga keenam, ia satu pencapaian memuaskan disebabkan pasukan kami baharu diambil alih daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) awal musim ini,” katanya. – Bernama

Pemain Kelantan United FC Muhamad Hakim Ismail (kiri) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama buat pasukannya ketika menentang pasukan Terengganu FC II pada saingan Liga Premier Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin. – Bernama