KOTA BHARU, 5 NOV – Kelantan FC akan menampilkan corak permainan menyerang bagi memastikan tiga mata penuh diraih apabila bertemu Sabah FC pada saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata langkah tersebut perlu bagi memastikan pasukan bimbingannya itu tidak keciciran mata seterusnya kekal berpeluang merebut slot ke suku akhir pertandingan.
“Kita perlukan tiga mata penuh, kami akan lebih menyerang untuk mendapatkan gol kemenangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelantan FC, Sabah FC dan PJ City yang bersaing dalam Kumpulan D, masih mempunyai peluang untuk merebut slot ke suku akhir pertandingan.
Mengulas lanjut, Rezal Zambery berkata dalam keghairahan menyerang, beliau turut meminta pemain pasukan itu agar mengunci pergerakan penyerang berpengalaman Sabah FC, Mohd Amri Yahyah. – Bernama