Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Dalam usahanya untuk memastikan para mualaf terus mendapat pembelajaran dan diberi perhatian, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) telah merasmikan cawangan Kelas Bimbingan Mualaf di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.
Perasmian cawangan itu telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Bebuloh, Haji Muhd Said bin Tundak.
Pembukaan kelas bimbingan mualaf itu diharap dapat memberi peluang kepada para mualaf di kampung tersebut dan kampung berdekatan untuk mempelajari dan menghalusi bacaan Al-Quran dan asas-asas fardu ain serta memberi keyakinan kepada para mualaf agar terus istiqamah mencari ilmu.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Kelas Bimbingan Mualaf di Kampung Bebuloh, bolehlah menghubungi Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Muallaf) PDI di talian 2383996.