Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Sebagai usaha memartabatkan semula warisan budaya Melayu Islam Beraja (MIB), Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Mukim Mentiri telah mengadakan kelas hadrah pertama khusus untuk ahli-ahli belia dan beliawanis di kawasan berkenaan.
Kelas hadrah ini dikendalikan secara bersama oleh Biro MPK Bahagian Belia dan Sukan serta Biro MPK Kebudayaan Berserumpun Kawasan 4, dan akan diadakan pada setiap hari Jumaat.
Kelas berkenaan diadakan di kediaman Pemangku Penghulu Mukim Mentiri merangkap Ketua Kampung Kawasan 4, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad, juga selaku pengerusi majlis.
Tenaga pengajar yang membimbing kelas tersebut ialah Haji Mohamad bin Haji Moksin, seorang tokoh yang berpengalaman dalam seni hadrah tradisional.
Menurut penganjur, hadrah merupakan sebahagian daripada budaya warisan turun-temurun masyarakat Melayu, lazimnya dipersembahkan dalam pelbagai majlis seperti perkahwinan, doa selamat dan acara keramaian.
Melalui penganjuran kelas ini, para belia dan beliawanis diharap dapat mewarisi dan menghidupkan semula seni tradisi tersebut, sekali us mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat dan berunsur kebudayaan.
Inisiatif itu disambut baik oleh penduduk setempat sebagai satu langkah ke arah memperkukuhkan identiti budaya dan nilai murni dalam kalangan generasi muda, seiring dengan dasar negara yang menekankan prinsip MIB.


