ASHLAND, 1 NOV – Seekor makhluk bersayap dari Oregon dinobatkan sebagai pemenang tahun ini dalam pertandingan kecantikan kelawar tahunan yang diadakan oleh Biro Pengurusan Tanah.
Pada acara Halloween, yang juga merupakan hari terakhir Minggu Kelawar Antarabangsa, seekor kelawar berbulu lebat dengan personaliti penuh semangat bernama Hoary Potter mengalahkan Lestat, kelawar berkaki kecil barat dari Idaho, dalam pusingan akhir pertandingan itu. Haiwan itu juga mengalahkan kelawar bertelinga besar Townsend yang bernama Sir Flaps-A-Lot dari Utah.
Kemenangan itu menandakan tahun ketiga berturut-turut, seekor kelawar dari Oregon telah meraih tempat pertama dalam pertandingan itu. Tahun lepas, William ShakespEAR, kelawar bertelinga besar Townsend betina dari selatan Oregon merangkul gelaran itu. Pada 2022, kelawar ngarai bernama Barbara juga dari selatan Oregon telah diisytiharkan sebagai pemenang.
Agensi persekutuan itu telah mengadakan pertandingan itu sejak 2019 untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ekologi haiwan itu. Kelawar adalah sebahagian daripada populasi liar yang tinggal di tanah awam, dan digambar oleh kakitangan agensi. BLM menyiarkan gambar itu pada akaun Facebook dan Instagramnya, dan meminta orang ramai mengundi yang paling comel.
Kelawar Hoary terkenal dengan gerakan pantas dan kebolehan untuk melilit diri dengan ekornya sendiri, meniru daun dan bersembunyi daripada pemangsa, kata agensi itu. – AP