KOTA KINABALU, 22 JULAI – Kelawar akan menjadi spesies terancam sekiranya penguatkuasaan dan kawalan pengeluaran lesen memburu tidak dilaksanakan dengan lebih ketat, kata Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar.
Sehubungan itu, beliau berkata penguatkuasaan untuk memastikan haiwan berkenaan tidak diburu oleh pemburu haram, perlu terus dipertingkatkan daripada semasa ke semasa, selain pengeluaran lesen memburu dikawal dengan baik.
Mohd Soffian berkata populasi kelawar di Sabah masih terjaga dan belum terancam, namun boleh berlaku sebaliknya jika langkah penguatkuasaan dilakukan sambil lewa dan tiada langkah pemuliharaan spesies itu dilakukan secara berkesan.
“Kelawar masih boleh diburu dan kita keluarkan lesen memburu kelawar, bagaimanapun kawasan memburu kelawar sangat terhad dan bukan semua tempat boleh memburu. Kelawar itu bermusim dan bukannya hari-hari dapat memburu haiwan berkenaan, sebab itu kita masih mengeluarkan lesen untuk memburu.
“Sukar untuk mengetahui berapa banyak populasi tetapi berdasarkan jumlah lesen yang kita keluarkan, kebanyakan orang yang memohon lesen untuk 10 ekor, had setakat ini tidak ada namun sekiranya ada pemohon yang memohon untuk memburu lebih banyak kita kena hadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Keluang Sempena Projek Kerjasama Rehabilitasi Keluang Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah di sini hari ini. – Bernama
