Tuesday, November 26, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keldai dadah bawa syabu RM800,000 ditahan

    KOTA KINABALU, 12 NOV – Polis merampas syabu seberat 24.5 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM800,000 selepas menahan seorang lelaki dipercayai keldai dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) 7 Nov lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata lelaki berusia 24 tahun itu didapati membawa dua beg berisi 23 kotak dadah berkenaan menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ditahan di KKIA pada 8:30 pagi.

    Beliau berkata susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berumur 28 tahun berjaya ditahan di sebuah hotel di sini, pada 11:15 malam hari sama dan polis merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai.

    “Soal siasat mendapati suspek pertama yang didapati postif syabu ditawarkan upah RM1,000 bagi setiap satu kilogram dadah dari Kuala Lumpur untuk dibawa masuk ke Sabah, dengan kali pertama lelaki itu membawa syabu adalah ke negeri jiran pada 5 November dengan upah RM9,000.

    “Dadah dirampas mampu menampung sehingga 81,659 penagih dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata kadar jenayah di Sabah tahun ini meningkat kepada 3,652 kes setakat hujung bulan lepas, iaitu peningkatan 220 kes atau 6.41 peratus berbanding 2023.

    Jauteh berkata pada masa sama pihaknya berjaya mencatatkan kadar penyelesaian kes sebanyak 80.42 peratus, yang merupakan tempat ketiga bagi seluruh Malaysia. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda