Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Keldai’ dadah warga M’sia dipenjara 12 tahun

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun lapan bulan berserta 10 kali sebatan ke atas seorang lelaki warganegara Malaysia yang membawa masuk methylamphetamine dari Limbang ke Brunei dengan tujuan untuk dihantar ke Lawas.

    Vincent Soh, 35, bersetuju dengan seorang lelaki bernama Adam yang ditemuinya di Stesen Bas Limbang untuk membawa methylamphetamine ke Lawas dengan bayaran RM500.

    Fakta kes menyebutkan bahawa pada malam 21 Februari 2017, tertuduh telah membuat perjalanan sebagai seorang penumpang dalam sebuah kereta yang tiba di pos kawalan Ujong Jalan, Temburong.

    Kereta yang masuk dari Limbang telah dipilih secara rawak untuk diperiksa dalam operasi bersama yang sedang dilakukan oleh penguat kuasa dari Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Kereta yang dinaiki tertuduh turut diperintahkan untuk berhenti ke tepi dan tertuduh bersama pemandu kereta tersebut juga disuruh keluar dari kenderaan.

    Semasa pegawai lain menggeledah kereta, seorang pegawai narkotik bertanya kepada tertuduh mengapa dia kelihatan gugup.

    Tertuduh menjawab dengan menunjuk seluarnya dan berkata bahawa dia membawa sesuatu. Tertuduh kemudiannya mengesahkan bahawa dia membawa syabu apabila ditanya oleh pegawai.

    Tertuduh kemudian menyeluk ke dalam sakunya dan mengeluarkan sebungkus plastik yang mengandungi bahan-bahan kristal yang kemudian dianalisis oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik dan mendapati ia mengandungi 34.12 gram methylamphetamine.

    Tiub kaca yang disambungkan dengan tiub getah juga diserahkan kepada pihak narkotik dan kemudian dianalisis turut mempunyai kesan dadah Kelas A yang sama.

    Tertuduh juga mengakui bahawa dia telah mengambil dadah tersebut dengan menggunakan peralatan berkenaan.

    Pada mulanya, tertuduh dituduh mengimport 34.12 gram methylamphetamine yang dinafikannya dan tuduhan memiliki perkakas untuk mengambil dadah yang mana dia mengaku bersalah.

    Sebelum perbicaraan dimulakan pada 3 Ogos 2020, tertuduh telah melepaskan peguamnya dan menunjukkan bahawa dia bersedia untuk mengaku bersalah kerana memiliki sejumlah kecil dadah.

    Pendakwa kemudian menjatuhkan tuduhan mengimport methylamphetamine yang tidak melebihi 19 gram yang mana tertuduh segera mengakui kesalahannya.

    Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong menjatuhkan hukuman itu setelah mempertimbangkan rekod bersih tertuduh, dengan mengambil garis panduan daripada kes serupa sebelumnya dan titik permulaan penjara 19 tahun serta 14 sebatan yang dibenarkan dalam kes tersebut berdasarkan jumlah methylamphetamine yang terkait.

    Hukuman penjara tiga bulan dijatuhkan kepada tertuduh kerana memiliki peralatan mengambil dadah, yang mana diperintahkan untuk dijalankan bersamaan dengan jumlah keseluruhan.

    Ketua hakim negara juga memerintahkan agar hukuman penjara diambil kira dari tarikh tahanan reman tertuduh. Kes pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin dan Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda