Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelebihan batu ladung timah

    Oleh Raz AS –

    Batu ladung merupakan salah satu peralatan terminal yang penting dalam aktiviti memancing. Walaupun tanpa penggunaan batu ladung aktiviti ini masih boleh dijalankan, tetapi ia akan menghadkan kebolehan pemancing untuk melabuhkan umpan ke zon sasaran, terutama sekali bagi teknik pancingan dasar, balingan jauh dan sebagainya.

    Pentingnya penggunaan batu ladung bukan sahaja boleh dilihat ketika menggunakan teknik pancingan konvensional bahkan juga dalam penggunaan umpan tiruan, soft plastic, di mana jighead atau mata kail berbatu diperlukan untuk menduga spesies yang ada di bahagian pertengahan dan dasar.

    Bagi kebanyakan batu ladung, bahan yang sudah sinonim dengannya adalah timah.

    Meskipun terdapat batu ladung yang diperbuat daripada bahan lain, yang boleh didapati di pasaran, seperti tungsten, dan barangan lain digunakan oleh sebilangan pemancing sebagai alternatif kepada batu ladung seperti bahan besi terpakai atau batu, namun penggunaan timah sebagai batu ladung masih menjadi pilihan ramai pemancing di seluruh dunia.

    Timah adalah bahan logam yang tahan karat meski terdedah kepada air dan udara untuk masa yang lama. Walaupun terdapat bahan lain seperti besi tahan karat atau stainless steel, aluminum dan tungsten tetapi disebabkan faktor kos penghasilan yang rendah, harga batu ladung yang diperbuat daripada timah adalah sangat murah.

    Timah bersifat lebih lembut daripada besi oleh yang demikian kepingan timah mudah dipotong atau dilipat bagi menyesuaikan keperluan beratnya untuk dijadikan sebagai batu ladung. Manakala sifatnya yang mudah untuk dicairkan dengan api tanpa memerlukan suhu tinggi, cukup dengan suhu api dapur memudahkan sesiapa sahaja untuk membentuknya dengan pelbagai bentuk dan saiz acuan batu ladung yang mereka kehendaki.

    Berbanding besi, timah tidak mempunyai sudut tajam dan permukaannya pula licin dan tidak kasar seperti batu yang boleh mengakibatkan tali pancing rosak dan melemahkan tali pancing sehingga menimbulkan risiko tali putus.

    Timah bersifat berat dan mudah tenggelam dengan kepaduannya yang tinggi berbanding besi dan batu, oleh yang demikian timah yang mempunyai saiz dan bentuk yang sama dengan besi atau batu setentunya akan mempunyai berat yang lebih tinggi dan lebih mudah tenggelam.

    Manakala batu ladung yang diperbuat daripada tungsten pula mempunyai kepaduan yang lebih tinggi dan lebih berat daripada timah, namun pula berbalik pada faktor pertama,harganya lebih mahal menjadikannya kurang popular dalam kalangan pemancing yang mementingkan kos perbelanjaan.

    Bagi kebanyakan batu ladung, bahan yang sudah sinonim dengannya adalah timah. Meskipun terdapat batu ladung yang diperbuat daripada bahan lain. – GAMBAR BADANGLING
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda