Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelebihan berdzikir dan berdo‘a setelah selesai sembahyang

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Kelebihan duduk menanti di dalam masjid

    Seorang yang telah memenuhi tuntutan melakukan perkara-perkara yang sunat selepas sembahyang seperti berdzikir, berdo‘a, mendahulukan imam beredar sebelum makmum beredar atau melakukan sembahyang sunat, sudah setentunya mendapat kelebihan pahala. Namun bagaimana pula hukumnya jika selepas melakukan perkara-perkara di atas dia masih mahu meluangkan masa untuk duduk lebih lama lagi di dalam surau atau masjid?

    Menurut syara‘ seorang yang duduk dalam masjid dalam keadaan tidak berhadats dengan tujuan untuk melaksanakan ibadat, beri‘tikaf, membaca al-Qur’an, mengajar ilmu, menuntut atau mempelajari ilmu, mendengar nasihat dan ceramah, kerana menunggu waktu sembahyang (yang berikutnya) dan seumpamanya, adalah dihukumkan sunat (mustahabb). Bagaimanapun sekiranya seseorang itu duduk di dalam masjid bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang disebutkan, maka hukumnya adalah tetap diharuskan.

    Anjuran dan ganjaran pahala seseorang yang duduk di masjid menunggu waktu sembahyang berikutnya untuk melakukan sembahyang secara berjemaah adalah berdasarkan hadits Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Para malaikat memohonkan keampunan ke atas setiap daripada kamu selama mana (dia) tetap (duduk) di tempat sembahyangnya (di dalam masjid), selama mana dia tidak berhadats.

    (Para malaikat berkata): “Ya Allah, ampunkanlah baginya (dosanya), Ya Allah, rahmatilah dia.”

    Gambar Envato

    Sentiasalah (dikira) seseorang daripada kamu (memperolehi ganjaran pahala) sembahyang selama mana (dia masih menunggu) sembahyang dan tiada (suatu perkara) yang (boleh) menghalangnya untuk pulang (beredar) kepada keluarganya melainkan sembahyang.”
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Hadits ini menjelaskan bahawa sesiapa yang duduk di dalam masjid dan dalam keadaan suci (tidak berhadats) kerana menunggu untuk sembahyang berjemaah (atau waktu sembahyang berikutnya), antara kelebihannya ialah para malaikat sentiasa mendoakannya dengan keampunan dan rahmat. Selain itu, sepanjang masa dia berada di dalam masjid, dia diberikan ganjaran pahala secara berterusan (sepanjang masa) umpama ganjaran pahala orang yang mengerjakan sembahyang. Bagaimanapun sekiranya dia mengubah niatnya atau mengongsikan (menyatukan) niatnya duduk menanti dalam masjid itu bersama perkara-perkara lain, maka terputuslah ganjaran pahala, iaitu pahala umpama mengerjakan sembahyang, seperti yang disebutkan dalam hadits di atas.

    Menurut Ibnu Baththal, sungguhpun perkara yang dituntut di dalam hadits ketika duduk di dalam masjid ialah dalam keadaan suci daripada hadats (qubul dan dubur), akan tetapi Ibnu Baththal juga mengertikannya daripada sudut yang lebih utama, iaitu suci daripada keburukan tangan dan lidah dengan menjauhkan diri serta menjaga lidah daripada perbuatan dan percakapan yang tidak baik.

    Menurut Ibnu Baththal lagi sesiapa yang banyak dosanya dan mahu untuk mengurangkannya, maka gunakanlah dan rebutlah peluang ini, iaitu dengan cara hendaklah dia duduk di tempat sembahyangnya (dan tidak segera beredar) setelah selesai daripada sembahyang supaya dia memperolehi do‘a dan permohonan keampunan para malaikat bagi dirinya. Dalam masa yang sama, apa yang diharapkannya ialah agar permohonan keampunan dan rahmat tersebut diterima dan dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti dalam firmanNya yang tafsirnya:

    … dan mereka tidak dapat memberi syafa‘at (pada hari Kiamat) melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah…” (Surah al-Anbiya: 28)

    Kelebihan duduk selepas sembahyang fardhu Subuh

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Adzkar, semulia-mulia waktu berdzikir pada siang hari ialah selepas sembahyang fardhu Subuh.

    Antara dzikir yang dituntut dibaca selepas sembahyang fardhu Subuh (Fajar) ialah bertahlil sebanyak sepuluh kali. Demikian juga pada sembahyang Fardhu Asar dan Maghrib kerana telah warid hadits mengenainya, malahan pada kesemua sembahyang fardhu. Tuntutan membacanya adalah sejurus selesai sembahyang fardhu Subuh sebelum bergerak atau berpindah ke tempat lain malahan dalam keadaan dia masih duduk tahiyyat akhir.

    Menurut sebahagian ulama muta’akhkhirin, sesiapa yang selesai daripada sembahyang fardhu Subuh berjemaah dan mahu berdzikir sehingga terbit matahari, maka tidak disunatkan baginya berpindah. Dengan erti kata lain, hendaklah seseorang itu tetap duduk di tempat sembahyangnya berdizkir mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan yang seumpamanya.

    Dalil dalam perkara ini, telah sabit bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berterusan duduk di tempat sembahyang Baginda setelah selesai daripada sembahyang fardhu Subuh sehinggalah terbit matahari kemudian Baginda mendirikan sembahyang dua rakaat.

    Ganjaran bagi mereka yang duduk berdzikir selepas sembahyang fardhu Subuh sehingga terbit matahari adalah seperti melakukan satu haji dan satu umrah. Dalam sebuah riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘ahnu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa yang sembahyang Fajar (Subuh) berjemaah kemudian dia duduk berdzikir mengingati Allah sehingga terbit matahari, kemudian dia sembahyang dua rakaat (setelah terbit matahari) adalah baginya ganjaran seperti (mengerjakan) satu haji dan satu umrah.”

    Menurut Anas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “(Baginya haji dan umrah yang) sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    Selain itu, antara amalan sunat yang dianjurkan selepas sembahyang fardhu Subuh, khususnya pada Subuh hari Juma‘at, ialah disunatkan membaca surah al-Kahfi dan beberapa surah yang lain daripada al-Qur’an. Disunatkan juga memperbanyakkan bacaan surah al-Kahfi pada malam Juma‘at dan siang harinya paling kurang sebanyak tiga kali.

    Bagaimanapun membaca surah al-Kahfi pada siang hari Juma‘at adalah sangat dituntut dan waktu yang afdhal adalah pada waktu Subuh kerana cara ini bermaksud menyegerakan pelaksanaan amalan sunat dan menjaganya daripada diabaikan atau ditinggalkan.

    Sebagai kesimpulan, selesai memberi salam dalam sembahyang, pastikanlah agar imam, jemaah ataupun orang yang sembahyang secara bersendirian (munfarid) meluangkan masa untuk berterusan duduk di tempat sembahyangnya dan janganlah dia terburu-buru untuk beredar atau meninggalkan tempat sembahyangnya sekiranya tiada sebarang keuzuran. Ini kerana terdapat perkara-perkara yang disunatkan untuk dilakukan selepas sembahyang, antaranya ialah beristighfar, berdzikir dan berdo‘a.

    Setelah memenuhi tuntutan beristighfar, berdzikir dan berdo‘a selepas sembahyang, sesiapa yang masih mahu meluangkan masanya untuk duduk lebih lama lagi di dalam masjid, maka masa yang dihabiskan di dalam masjid bukanlah sia-sia. Ini kerana menurut syara‘, seseorang yang duduk menanti di dalam masjid dengan tujuan beri‘tikaf dalam masjid, kerana menunggu masuk waktu sembahyang yang berikutnya, melaksanakan ibadat lain seperti sembahyang dan membaca al-Qur’an, mendapatkan atau mengajarkan ilmu dan seumpamanya, maka hukumnya adalah sunat dan sudah setentunya mempunyai kelebihan dan mendapat ganjaran pahala.

    Perkara yang menjadi keutamaan ialah semasa tempoh berada di masjid hendaklah memastikan diri dalam keadaan suci (tidak berhadats) sepertimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Peluang untuk memperolehi kelebihan dan ganjaran daripada anjuran duduk lebih lama di masjid selepas sembahyang, lebih-lebih lagi selepas sembahyang fardhu Subuh sehingga terbit matahari, perlu direbut dan tidak disia-siakan. Ini kerana ganjaran yang dijanjikan sepertimana dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sangat hebat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda