Friday, December 20, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelebihan ternakan dan pemuliharaan lebah kelulut

    Oleh Lenna N.B.

     

    MERUJUK kepada Firman Allah Ta’ala dalam Al-Quran ada menyatakan bahawa madu lebah itu memiliki pelbagai warna, namun semuanya mempunyai manfaat kesihatan kepada manusia. Dari situ, ia jelas memperlihatkan bahawa Allah telahpun memberikan penawar kepada kita sejak sebelum lahir lagi, cuma tinggal kita sahaja lagi untuk menerokainya. Perkara tersebut lebih jelas lagi apabila merujuk tafsir Surah An-Nahl, ayat 69:

    “Kemudian makanlah dari segala (macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu).” Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi manusia. Sungguh, pada demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir”

    Menyedari akan kepentingan madu lebah tersebut sekaligus telah berjaya membuka hati Awang Abdul Malik bin Haji Siajuan @Hujan, 46, salah seorang pengusaha ternakan lebah kelulut di Kampung Tungku, Gadong.

    Manfaat di sebalik madu lebah kelulut

    Madu asli umpamanya dari lebah kelulut seperti difirmankan oleh Allah Ta’ala sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh badan manusia. Ini juga diperakui berdasarkan penerokaan dan kajian para pakar yang menemui bahawa madu asli lebah kelulut mampu untuk menjadi penawar kepada pelbagai penyakit seperti diabetis, strok, kanser, sakit sendi, penyakit-penyakit kulit seperti jerawat, kudis, kurap dan sebagainya, menguatkan tulang, penyakit batu karang, asma, ulser, mengurangkan kolesterol, pengubat gout, demam dan batuk, masalah jantung, dan banyak lagi manfaatnya kepada manusia. Nabi Muhammad S.A.W. juga bersabda (diriwayatkan oleh Abu Hurairah):

    Awang Abdul Malik ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
    Awang Abdul Malik ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
    Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 yang terletak di Kampung Tungku, Gadong.
    Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 yang terletak di Kampung Tungku, Gadong.
    Sekitar Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5, setiap rumah mempunyai sebuah koloni lebah kelulut.
    Sekitar Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5, setiap rumah mempunyai sebuah koloni lebah kelulut.
    Awang Abdul Malik ketika melakukan proses menuai madu.
    Awang Abdul Malik ketika melakukan proses menuai madu.

    “Sesiapa menjilat/minum madu tiga pagi setiap bulan, tidak akan ditimpa bala (penyakit) berat.”

    Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5

    Sejarah Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 bermula kira-kira sejak dua tahun lalu yang mula diusahakan dalam bulan Ogos 2014, apabila Awang Abdul Malik mula menternak empat jenis lebah kelulut iaitu Lepidotrigona Terminata, Lepidotrigona Ventralis, Tetragonula sp. dan Tetragonula Fuscobalteata.

    “Arwah ayah saya dahulu memang merupakan seorang peneroka madu lebah berbisa. Namun, apabila saya mengetahui mengenai proses untuk mendapatkan madu lebah kelulut lebih mudah daripada lebah berbisa, sekaligus menambahkan minat saya.

    Apatah lagi, manfaatnya yang banyak dan kurang risiko berbanding lebah yang berbisa.”

    Awang Abdul Malik merupakan seorang pencinta alam semulajadi. Sebelum beliau bersara sebagai tentera dalam tahun 2015, beliau selalu ditugaskan di hutan, malah selepas bertugas pun, beliau adalah seorang yang cukup gemar untuk melakukan aktiviti luar seperti aktiviti meredah hutan, menghayati keindahan wasai, bertani dan sebagainya yang berkaitan dengan alam semulajadi. Atas semangat untuk mencintai alam semulajadi tersebut, Awang Abdul Malik juga secara tidak langsung ingin berjinak-jinak untuk menternak lebah kelulut yang merupakan sumber dari kehidupan alam semulajadi. Kini, beliau telah pun berjaya menjadi seorang pengusaha lebah kelulut sepenuh masa di halaman rumahnya, Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5.

    “Nama ‘Qana’ah’ dipetik daripada bahasa Arab yang bererti sifat syukur kepada Allah sama ada rezeki yang banyak atau sedikit. Ini mempunyai hubungkait dengan hasil madu. Saya sentiasa bersyukur sama ada hasil madu yang dituai itu sedikit atau banyak.

    Sementara nombor 5 pula adalah dipetik dari nombor rumah saya. Persekitaran halaman rumah saya sengaja dibentuk seperti taman kerana sejak madu lebah kelulut menjadi projek 1 kampung 1 produk, tempat saya sering dilawati oleh pengunjung-pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara. Jadi, tempat ini menjadi tempat melawat, menyelidik, belajar dan perkongsian pengetahuan tentang lebah kelulut.”

    Menurut Awang Abdul Malik, beliau meluangkan waktu belajar dalam masa yang agak singkat, iaitu kira-kira selama dua bulan dalam memahami penternakan lebah kelulut. Selain merujuk kepada sumber Internet, beliau juga pernah belajar melalui seorang sahabat, Awang Mitasby bin Haji Mamit, yang juga merupakan seorang Pengusaha Ladang Ternakan Lebah Kelulut di Tutong.

    Menariknya, di setiap atas batang kayu yang didiami oleh koloni lebah kelulut telah diletakkan kotak kayu yang dibentuk seperti rumah. Setakat ini, Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 mempunyai kira-kira lebih 40 buah rumah dan kini, Awang Abdul Malik telah menternak sebanyak enam jenis lebah iaitu Geniotrigona Thoracica, Heterotrigona Itama, Lophotrigona Canifrons, Tetrigona Binghami, Tetragonula Fuscobalteata, dan Lepidotrigona Terminata.

    Setiap rumah memiliki sebuah koloni yang mencapai ribuan ekor lebah kelulut yang terdiri daripada seekor ratu, ratusan ekor lebah jantan, dan selebihnya adalah lebah betina yang merupakan pekerja-pekerja bertugas untuk mengisi tempayan madu, menjaga kebersihan sarang, membina sel anak, membentuk dan menutup tempayan madu, mengumpul polen, pendebungaan, mengawal pintu masuk dan sebagainya.

    Setiap batang kayu diletakkan di atasnya sebuah kotak rumah kayu untuk memudahkan koloni lebah menghasilkan madu mereka dengan aman dan tenang.
    Setiap batang kayu diletakkan di atasnya sebuah kotak rumah kayu untuk memudahkan koloni lebah menghasilkan madu mereka dengan aman dan tenang.
    Pelbagai warna madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut bergantung kepada sumber makanannya.
    Pelbagai warna madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut bergantung kepada sumber makanannya.
    Madu sangat lazat dinikmati bersama sarapan pagi, set yang boleh dimanfaatkan di hotel-hotel atau restoran-restoran.
    Madu sangat lazat dinikmati bersama sarapan pagi, set yang boleh dimanfaatkan di hotel-hotel atau restoran-restoran.

    Proses penternakan dan pemuliharaan

    “Setiap orang mempunyai kaedah yang berbeza dalam penternakan kelulut. Dalam kaedah saya praktikkan di taman ini, saya bukan sahaja menternak dan menuai tetapi pemuliharaan, iaitu melindungi lebah-lebah kelulut ini dan memastikan mereka tetap membiak dalam keadaan yang aman dan tenang.”

    Kaedah yang digunakan oleh Awang Abdul Malik dikenali sebagai ‘logging’ iaitu dengan mendapatkan batang kayu yang mengandungi kelulut dan diletakkan di atas rumah kayu yang dijadikan sebagai stor tempat penyimpanan madu.

    Menurut Awang Abdul Malik, lebah-lebah kelulut biasanya bersarang dalam batang-batang kayu. Cara mudah untuk mengetahui batang kayu tersebut didiami oleh koloni lebah kelulut adalah dengan mencari corong atau pintu masuknya.

    Selepas itu, batang kayu tersebut dipotong atau ditebang tanpa merosakkan bitumennya.

    “Kami berusaha untuk mengurangkan risiko kepupusan lebah kelulut kesan-kesan daripada pembangunan. Justeru itu, sebelum sebuah kawasan dilapangkan, kami akan turun ke kawasan berkenaan untuk mencari batang-batang kayu yang mengandungi koloni lebah kelulut.

    Batang kayu tersebut kemudiannya kami bawa pulang dan menternaknya di kawasan halaman rumah. Jika batang-batang kayu ini dibiarkan musnah begitu sahaja, lebah akan mati atau hilang tempat kediaman,” jelas Awang Abdul Malik.

    Dalam pemuliharaan lebah kelulut, menurut Awang Abdul Malik, lebah tersebut perlu dikaji suasana kehidupannya, dijaga dengan penuh kasih sayang, dan berusaha untuk tidak memberi tekanan kepada mereka, terutama setelah ia berpindah ke kawasan baru. Atas sebab itulah, berbanding dengan kotak empat segi, Awang Abdul Malik lebih suka untuk menggunakan kotak rumah untuk stor tempat lebah-lebah bekerja mengeluarkan madu kerana mereka dilindungi daripada kepanasan cahaya matahari dan seakan-akan seperti berada di batang kayu yang sebenarnya.

    “Dalam dunia ini, tidak semua negara terdapat lebah kelulut. Hanya negara beriklim tropika sahaja dianugerahkan mempunyai lebah ini, dan Brunei adalah negara bertuah dianugerahkan Allah lebah kelulut.

    Justeru itu, adalah penting untuk menjaga serta menghargai khazanah negara ini dan selaku penternak, saya bukan sahaja sekadar menuai madunya, tetapi bertanggungjawab untuk memulihara mereka. Jika mereka gembira dan sihat, maka setentunya madu yang dihasilkan juga banyak. Inilah antara kaedah yang kami penduduk-penduduk Kampung Tungku ini usahakan untuk membantu masalah kepupusan kelulut.

    Bentuk kotak rumah kayu sebagai stor penyimpanan madu pula adalah trademark kami di samping menjaga kesejahteraan kelulut, ia juga turut menyerikan lagi pemandangan kampung ini,” jelas Awang Abdul Malik.

    Pelbagai warna madu

    Menurut Awang Abdul Malik, sehingga hari ini, beliau masih dalam proses untuk menyelidiki lebah kelulut. Suatu penemuan yang menarik adalah lebah kelulut mampu untuk menghasilkan madu dengan warna serta rasa yang berbeza.

    Ada kalanya masam, ada kalanya manis dan ada juga menggabungkan rasa masam dan manis. Begitu juga dari segi warna, madu yang dihasilkan boleh sahaja berwarna putih cerah, kuning, jingga, hinggalah gelap kehitam-hitaman. Namun, semuanya mempunyai manfaat yang sama, asli daripada lebah kelulut.

    Salah seekor lebah kelulut sedang menyedut cecair dari bunga-bunga sekitar halaman untuk menghasilkan madu.
    Salah seekor lebah kelulut sedang menyedut cecair dari bunga-bunga sekitar halaman untuk menghasilkan madu.
    Stor simpanan madu yang dipenuhi dengan tempayan-tempayan lebah kelulut Heterotrigona Itama.
    Stor simpanan madu yang dipenuhi dengan tempayan-tempayan lebah kelulut Heterotrigona Itama.
    Setiap pintu masuk dan corong telah dijaga oleh pekerja lebah kelulut bagi memastikan tidak ada haiwan lain atau koloni lebah yang lain masuk ke sarang mereka.
    Setiap pintu masuk dan corong telah dijaga oleh pekerja lebah kelulut bagi memastikan tidak ada haiwan lain atau koloni lebah yang lain masuk ke sarang mereka.
    Tempayan madu lebah kelulut Geniotrigona Thoracica yang berukuran lebih besar daripada kelulut yang lainnya.
    Tempayan madu lebah kelulut Geniotrigona Thoracica yang berukuran lebih besar daripada kelulut yang lainnya.

    “Kenapa lebah kelulut menghasilkan madu yang berbeza warna serta rasanya? Ini kembali kepada apa yang dimakannya atau dihisapnya melalui tumbuhan sekeliling.

    Begitu juga mengikut musim buah dan bunga. Justeru itu, sebelum pelanggan kami membeli madu, kami galakkan mereka untuk merasa sendiri madu-madu yang telah dihasilkan, kemudian berserah kepada mereka untuk memilih warna madu yang dikehendaki.

    Madu-madu yang kami hasilkan adalah seratus peratus asli tanpa menggunakan sebarang bahan-bahan campuran. Rasanya juga asli daripada lebah itu sendiri. Ringkasnya, warna madu yang dikeluarkan oleh kelulut bergantung kepada sumber makanannya,” jelas Awang Abdul Malik.

    Menjana Pendapatan

    Oleh kerana madu terkenal dengan manfaat kesihatannya, maka permintaannya sangat tinggi dan justeru itu, ia boleh menjadi sumber penjanaan pendapatan. Menurut Awang Abdul Malik, di antara enam jenis kelulut dalam yang ada dalam penternakkannya, hanya dua jenis kelulut sahaja yang boleh dikomersialkan iaitu Geniotrigona thoracica dan Heterotrigona Itama kerana kemampuannya untuk menghasilkan lebih banyak madu daripada spesies yang lainnya.

    Daripada lebah kelulut, bukan sahaja madunya boleh menjana pendapatan, tetapi juga polen yang dihasilkan mereka yang boleh menjadi kapsul dan propolis iaitu getah binaan yang dibuat oleh pekerja-pekerja lebah yang boleh menjadi sabun dan sebagainya.

    Awang Abdul Malik sendiri hanya mengusahakan madu kelulut yang dijual dari 50ml hingga 160ml.

    “Banyak manfaat madu, dan banyak juga keuntungan di sebalik menternak kelulut. Bagi mereka yang aktif dalam pertanian seperti bunga-bunga dan buah-buahan, kelulut bertindak sebagai agen pendebungaan dan mampu memberi kesan kepada hasil pertanian.

    Satu lagi ruang penjanaan ekonomi yang dapat dihasilkan di sebalik aktiviti penternakan kelulut.”

    Walaupun baru berkecimpung di bidang ini selama dua tahun, Awang Abdul Malik sering menjadi bahan rujukan kepada para pelajar-pelajar, malah kawasan halaman rumahnya, Taman Lebah Kelulut Qana’ah telah dikunjungi 328 orang pelawat dari dalam negara terdiri daripada orang-orang persendirian, pelajar-pelajar, persatuan, jabatan-jabatan kerajaan dan sebagainya.

    Manakala, seramai 26 orang pelawat dari luar negara telah dicatatkan, iaitu dari Singapura dan Malaysia. Dalam membentuk taman lebah kelulut, Awang Abdul Malik menyimpan harapan agar kepentingan lebah kelulut ini semakin disedari dan semakin ramai mereka yang memulihara kelulut daripada kepupusan kerana ia juga merupakan khazanah negara yang dianugerahkan Allah sebagai hadiah kepada hamba-NYA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda