Saturday, November 2, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kelewatan projek Pan Borneo Sabah disebabkan masalah pengambilan tanah’

    KOTA KINABALU, 6 OKT – Kelewatan pelaksanaan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1A Sabah disebabkan masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti di jajaran projek itu yang memakan masa yang sangat lama, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Beliau berkata tindakan pemilik tanah enggan berkerjasama serta membawa isu berkenaan ke mahkamah menyebabkan projek LPB tertangguh sehingga mendapat tempoh lanjutan masa (EOT).

    “Oleh itu, kita tidak mahu masalah ini berlaku dalam pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1B yang mana kontraktor pelaksana baharu saja menerima Surat Setuju Terima (SST) dua hari lepas.

    “Dalam hal pengambilan tanah, pengalihan utiliti boleh dicepatkan. Sebagai contoh pengambilan tanah ada tempoh yang ditetapkan dalam seksyen yang tertentu,” katanya ketika meninjau pelaksnaan projek LPB Sabah Pakej 8 di Jalan Sepanggar-Berungis di Kota Kinabalu hari ini.

    Ahmad berkata status kemajuan pembinaan projek LPB Fasa 1A sehingga Ogos 2024 bagi 15 pakej yang dilaksanakan ialah sebanyak 79.48 peratus.

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) meninjau perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Telipok, pada 6 Oktober. – Bernama

    “Sebanyak empat Pakej Kerja telah siap dan dibuka kepada pengguna jalan raya, manakala pakej kerja selebihnya berada pada pelbagai peringkat pembinaan dan dijangka siap keseluruhannya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku pertama 2026. Anggaran jarak keseluruhan Fasa 1A adalah 283 kilometer,” katanya.

    Beliau juga meminta agar pihak kontraktor menitikberatkan Pelan Pengurusan Trafik yang sistematik bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dimaksimumkan serta mengurangkan impak kesesakan jalan raya.

    “Selain itu, saya berharap berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa selari dengan hasrat Program MY Jalan KK yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada sema rakyat Malaysia MADANI secara konsisten,” tambahnya.

    Ahmad juga mencadangkan agar kontraktor baharu yang menerima SST untuk melaksanakan projek LPB Fasa 1B diberikan seminar untuk mendedahkan mereka tentang permasalahan yang dihadapi dalam pelaksanaan projek LPB Fasa 1A agar masalah berkenaan tidak berulang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda