Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelima-lima pelombong ditemui maut susulan runtuhan lombong di Chile

    CHILE, 4 OGOS – Operasi menyelamat di lombong tembaga bawah tanah terbesar di dunia di Chile berakhir kelmarin, tanpa sebarang mangsa yang terselamat, apabila mayat bagi  kelima pelombong yang hilang telah ditemui beberapa hari selepas terowong runtuh, menurut pihak berkuasa.

    “Hari ini kami akhirnya menemui mangsa terakhir yang hilang dalam keadaan meninggal dunia,” kata pendakwa wilayah O’Higgins, Aquiles Cubillos kepada wartawan.

    Operasi di pusat perlombongan El Teniente telah dihentikan sejak Jumaat selepas satu ‘kejadian seismik’ menyebabkan runtuhan terowong pada hari sebelumnya, yang menjerat lima pelombong di dalamnya.

    Sama ada gegaran itu berpunca daripada gempa bumi atau aktiviti penggerudian masih dalam siasatan.

    El Teniente, yang dikendalikan oleh syarikat perlombongan milik kerajaan Chile, Codelco, mempunyai lebih 4,500 kilometerterowong dan merupakan deposit tembaga bawah tanah terbesar di dunia.

    Tahun lalu, lombong itu menghasilkan 356,000 tan metrik tembaga dan  hampir tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran tembaga Chile.

    Industri perlombongan Chile dianggap antara yang paling selamat di dunia, dengan kadar kematian hanya 0.02 peratus pada tahun 2024, menurut Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Kebangsaan Chile. – AFP

    Aquiles Cubillos, bercakap kepada media di ibu pejabat Codelco di Rancagua, Wilayah O’Higgins, Chile, pada 1 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda