TERGOLONG dalam keluarga tumbuhan Convolculaceae, spesies dari genus Ipomoea adalah tumbuhan liar yang banyak tumbuh di kawasan terbiar. Walaupun saiz bunganya agak kecil tetapi agak menarik penampilannya iaitu berbentuk seperti serombong atau loceng.
Terdapat lima kelopaknya yang berwarna putih bersih dengan warna perang di bahagian tengahnya.
Lima stamennya juga berwarna putih. Bunganya digemari oleh serangga seperti lebah dan rama-rama untuk bertandang serta menghisap madunya.
Daunnya juga berbentuk menarik iaitu bujur panjang dengan lebar berlekuk di bahagian berdekatan tangkainya serta bertekstur licin.
Pokoknya memiliki batang kecil dan lembut. Oleh sebab itu, ia hanya boleh tumbuh merayap dan biasanya sering tumbuh di permukaan tanah di kawasan padang dan sebagainya.

Walaupun pokok ini boleh dianggap sebagai tumbuhan yang kurang berguna kerana sering memenuhi ruang-ruang kawasan terbiar tetapi penampilan bunganya yang cantik dan menarik apabila berkembang itu mampu menjadi tanaman hiasan menarik. Contohnya, ditanam di tanah sebagai pokok penutup bumi.
Penanaman
Tumbuhan ini mudah dibiakkan dengan menggunakan biji benih. Kulit buah yang masak akan terbuka dengan sendirinya lalu menaburkan biji benihnya ke tanah.
Jika keadaan di persekitarannya sesuai seperti kelembapan dan cahaya yang mencukupi biji-biji ini akan terus bercambah iaitu tumbuh secara semula jadi menjadi anak liar.
Anak-anak pokok liar ini boleh digunakan untuk penanamannya seperti dengan mencabut anak benih yang telah tumbuh sekurang-kurangnya telah mempunyai beberapa helai daun.
Tanam dalam medium kekalnya di tanah. Ia kurang sesuai untuk ditanam dalam bekas seperti pasu kerana ciri pertumbuhannya yang bebas menjalar secara meliar.
Ia sesuai tumbuh dalam pelbagai jenis campuran medium tanaman tetapi perlulah gembur, kaya dengan bahan organik dan berpasir agar air senang mengalir keluar bagi mengelakkannya bertakung.
Campuran medium tanaman untuk pokok berpasu adalah dalam campuran 3:2:1 yang merangkumi tanah gembur, bahan organik dan pasir sungai dengan dilebihkan bahagian pasirnya juga sesuai digunakan untuk penanaman.
Apabila memindahkan anak semaian atau anak pokok liar, sebaiknya pastikan terdapat medium semaian pada akarnya supaya ia tidak layu dan dapat terus tumbuh subur membesar.
Penjagaan
Siram pokok bunga Ipomoea liar dua kali sehari pada hari panas untuk mengekalkan medium tanamannya lembap sentiasa agar pokok dapat tumbuh membesar.
Ia perlu didedahkan kepada cahaya yang banyak supaya dapat berbunga banyak dan cantik.
Kebanyakan jenis baja adalah sesuai untuk pokok ini terutama baja organik seperti najis ayam untuk pertumbuhan yang subur. Ikuti arahan yang tertera di pek baja yang digunakan.
Idea pameran
Ia sangat cantik ditanam sebagai tanaman penutup bumi untuk menghiasi kawasan yang boleh menjadi hakisan tanah.