Keluar air mani di siang hari bulan Ramadan

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Ketika mengerjakan ibadah puasa, kita dituntut supaya menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan ibadah puasa kita.

Tidak kira sama ada kerana perkara tersebut boleh membatalkan ibadah puasa, atau kerana ia boleh menjejaskan kesempurnaannya kerana tidak selari dengan hikmat pensyariatan serta adab-adab berpuasa.

Salah satu perkara yang boleh menjejaskan ibadah puasa bahkan boleh menyebabkan ibadah puasa batal ialah keluar air mani di siang hari bulan Ramadan.

Walaupun demikian, bukan dalam semua keadaan keluar air mani itu boleh membatalkan ibadah puasa. Bahkan ada kalanya ia tidak menjejaskan ibadah puasa.

Sebab-sebab berlaku keluar air mani di siang hari bulan Ramadan boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan seperti berikut:

Keluar air mani kerana mimpi di siang hari puasa tidak membatalkan ibadah puasa akan tetapi menurut Imam al-Asnawi Rahimahullah, sunat dia menyegerakan mandi wajib sebaik sahaja dia tersedar daripada mimpinya. – Agensi

1. Disebabkan melakukan hubungan kelamin

Mengadakan hubungan kelamin, sama ada bersama pasangan yang sah yakni suami isteri atau bukan, melalui qubul ataupun melalui dubur, memakai sarung seperti kondom ataupun tidak, berlaku inzal (keluar air mani) ataupun tidak, semuanya adalah membatalkan puasa.

Begitu juga tidak ada beza dalam perkara ini sama ada ia dilakukan bersama manusia ataupun bersama binatang.

Semuanya perbuatan tersebut membatalkan puasa dengan syarat dia tahu akan hukum haramnya, dan dia melakukannya dengan sengaja, atas kemahuannya sendiri tanpa paksaan daripada sesiapa.

Bagi lelaki, disyaratkan hubungan kelamin yang membatalkan puasa itu masuknya keseluruhan hasyafah yakni kepala zakar, ataupun kadarnya bagi lelaki yang tidak mempunyai hasyafah.

Oleh itu, tidak batal puasa jika tidak masuk keseluruhan hasyafah ataupun kadarnya itu kecuali sekiranya ia menyebabkan inzal yakni keluar air mani.

Adapun perempuan yang disetubuhi pula, batal puasanya dengan berlakunya dukhul (masuk zakar ke dalam faraj atau dubur) semata-mata, walaupun hanya sebahagian hasyafah sahaja yang masuk ke dalam qubul atau duburnya itu.

Wajib ke atas orang yang batal puasanya kerana jimak ini supaya imsak (menahan diri dari makan dan minum) sepanjang siang puasa Ramadan sepertimana keadaan orang yang sedang berpuasa.

Khusus bagi lelaki yang mewathi‘ (menyetubuhi), di samping wajib qadha, dia juga wajib membayar kafarah dengan memerdekakan seorang hamba.

Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa dua bulan berturut-turut, maka hendaklah dia memberi makan 60 orang miskin.

2. Disebabkan Istimna‘ (onani)

Keluar air mani dengan sebab istimna‘ (onani), sama ada dilakukan menggunakan tangan sendiri atau tangan orang lain, dan sama ada dengan menggunakan sarung seperti kondom ataupun tidak, begitu juga sama ada dengan diiringi syahwat ataupun tidak, selama mana perbuatan itu menyebabkan keluar air mani, dan ia dilakukan dengan sengaja atas kemahuan sendiri serta tahu akan hukum haramnya, maka yang demikian itu adalah membatalkan puasa.

Adapun orang yang keluar air mani kerana menggaru zakarnya yang sangat gatal, maka yang demikian itu tidak membatalkan ibadah puasa jika dia tidak tahu bahawa perbuatannya itu boleh menyebabkan air maninya keluar.

Bagaimanapun, jika orang tersebut tahu bahawa jika dia menggaru zakarnya air maninya akan keluar, maka hal ini terbahagi kepada dua keadaan:

Jika dia tidak mampu menahan dirinya daripada menggaru zakarnya yang sangat gatal itu, lalu dia pun menggarunya kemudian keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.

Jika dia mampu menahan dirinya daripada menggaru zakarnya yang sangat gatal itu, lalu dia menggarunya juga, kemudian keluar air maninya, maka batal puasanya.

3. Disebabkan ciuman, sentuhan, pelukan dan yang seumpamanya

Keluar air mani kerana ciuman, sentuhan, pelukan dan yang seumpamanya ini mempunyai beberapa permasalahan:

Keluar air mani kerana menyentuh mana-mana anggota tubuh badan perempuan yang membatalkan wudhu, sama ada dengan cara ciuman, sentuhan dan sebagainya, tanpa berlapik, adalah membatalkan puasa.

Sekiranya yang disentuh itu bukan yang membatalkan wudhu, seperti rambut perempuan misalnya, walaupun rambut perempuan yang bukan mahramnya, lalu keluar air maninya kerana menyentuh rambut perempuan itu, maka tidak batal puasanya.

Begitu juga jika yang disentuh itu adalah mahramnya sendiri, dan sentuhannya itu bukan dengan syahwat, bahkan sekadar sentuhan kasih sayang atau belas kasihan semata-mata, lalu keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.

Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullah, berlainan pula hukumnya jika dia menyentuh mahramnya itu dengan tujuan untuk mengeluarkan air mani, lalu keluar air maninya kerana sentuhan itu, maka batal puasanya kerana ini termasuk dalam kategori istimna‘ iaitu mengeluarkan air mani secara senghaja di luar jimak.

Sekiranya dia menyentuh atau memeluk perempuan dengan berlapik, sekalipun nipis lapiknya itu, lalu keluar air maninya, maka tidak batal puasanya, tidak kira sama ada dia melakukannya dengan syahwat ataupun tidak.

Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi Rahimahullah, jika dia menyentuh atau memeluk dengan lapik itu dengan tujuan untuk mengeluarkan air mani, lalu keluar air maninya, maka batal puasanya kerana ini juga termasuk dalam kategori istimna‘.

Sekiranya dia memeluk perempuan sebelum masuk waktu berpuasa, seperti dalam waktu sahur misalnya, kemudian dia melepaskan pelukan tersebut sebelum masuk waktu Subuh, tiba-tiba apabila masuk waktu Subuh air maninya pun keluar, perkara ini tidaklah membatalkan puasa.

Sekiranya lelaki itu mencium perempuan ketika sedang berpuasa, lalu dia melepaskan ciumannya, kemudian setelah dia melepaskan ciumannya itu, air maninya pun keluar.

Dalam hal ini, jika ciuman itu diiringi syahwat dan berlaku ereksi pada zakarnya, maka batal puasanya.

Adapun jika ciuman itu tidak diiringi syahwat dan tidak berlaku ereksi pada zakarnya, lalu keluar air maninya selepas melepaskan ciuman itu, perkara ini tidaklah membatalkan puasanya.

Sekiranya air maninya keluar kerana menyentuh kemaluan binatang, tidaklah perbuatan tersebut membatalkan puasanya.

4. Disebabkan melihat atau memikirkan sesuatu yang menimbulkan syahwat

Melihat atau memikirkan atau membayangkan sesuatu sehingga timbul syahwat lalu keluar air mani, menurut ulama perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa.

5. Disebabkan bermimpi

Keluar air mani kerana mimpi di siang hari puasa tidak membatalkan ibadah puasa.

Akan tetapi menurut Imam al-Asnawi Rahimahullah, sunat dia menyegerakan mandi wajib sebaik sahaja dia tersedar daripada mimpinya.

Dalam keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, ibadah puasa yang batal itu wajib diqadha.

Manakala kafarah pula, ia hanya diwajibkan ke atas mereka yang rosak puasanya kerana melakukan jimak di siang hari puasa bulan Ramadan walaupun tidak berlaku inzal kerana jimak itu.

Bagaimanapun, kafarah ini hanya wajib ke atas lelaki yang mewathi‘ sahaja, dan tidak ke atas yang diwathi‘ (disetubuhi).

Adapun sekiranya air mani keluar kerana selain daripada jimak, seperti kerana melakukan onani, menyentuh kulit perempuan yang bukan mahram tanpa lapik dan sebagainya, tidaklah diwajibkan kaffarah.

Memasuki waktu Subuh dalam keadaan berhadas besar

Orang yang memasuki waktu Subuh sedangkan dia masih lagi dalam keadaan berhadas besar, yakni belum mengerjakan mandi wajib, sama ada kerana jimak, bermimpi dan sebagainya, hukum puasanya tetap sah.

Begitu juga perempuan yang baru habis daripada haid atau nifas pada malam hari dan dia ada berniat untuk mengerjakan puasa, walau bagaimanapun dia masih belum mengerjakan mandi wajib sedangkan waktu Subuh sudah masuk, hukum puasanya pun tetap sah.

Bagaimanapun, sunat menyegerakan mandi wajib sebelum masuk waktu Subuh supaya dia berada dalam keadaan suci dari permulaan waktu berpuasa.

Ini juga bertujuan untuk mengelakkan daripada termasuk air ke rongga-rongga telinga, dubur dan sebagainya yang boleh menjejaskan ibadah puasa sekiranya mandi wajib itu dilakukan ketika sudah masuk waktu berpuasa.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum ibadat puasa orang yang keluar air mani di siang hari bulan Ramadan.

Mudah-mudahan penjelasan ini akan mampu meningkatkan lagi pengetahuan serta kefahaman kita tentang ibadah puasa sekaligus membantu kita untuk mengerjakannya dengan lebih baik dan sempurna.