Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Para belia dikehendaki lebih berani tampil ke hadapan dan keluar dari ‘zon selesa’ dengan mengorak langkah lebih jauh bagi menembusi dan menguasai pasaran serantau dan antarabangsa yang menawarkan banyak peluang dan cabaran.
Selain itu, mereka juga diseru untuk memanfaatkan platform-platform yang telah disediakan oleh pihak kerajaan melalui beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memudahkan kerjasama dalam bidang-bidang perniagaan dan pelaburan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-18 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah menzahirkan keterujaan Baginda melihat perkembangan dan sumbangan memberangsangkan para belia yang merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi, digital, inovasi sosial, agri-bisnes, industri kreatif, kesukarelawan dan kemasyarakatan, bahkan juga penggubalan dasar.
Pada masa yang sama, Baginda turut menyentuh mengenai perkembangan golongan belia yang sudah dilihat mempelopori pelbagai bidang keusahawanan sama ada dari perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang difahamkan melibatkan kira-kira 17,000 belia yang berdaftar di bawah Baha-gian Pendaftaran Syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN).
Terdahulu, Baginda menyatakan Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang jatuh pada setiap 1 Ogos merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.
Umpama ‘Belia dan Negara Berpisah Tiada’, Baginda melihat ungkapan itu sangat relevan dengan golongan belia yang merupakan peneraju negara, selain turut membuktikan bahawa mereka adalah ejen perubahan masa depan untuk merealisasikan aspirasi negara menjelang 2035.
Dari aspek kepimpinan, Baginda menyambut baik penglibatan aktif belia dalam dialog dan penggubalan dasar di peringkat kebangsaan mahupun serantau.
“Kerajaan akan terus menyediakan platform-platform yang berkesan seperti Kongres Belia dan Youth Town Hall serta penglibatan dalam forum dasar serantau sebagai ruang untuk menyuarakan idea bernas dan ‘Aspirasi Belia’,” titah Baginda lagi.
Menyentuh mengenai kejayaan belia negara di peringkat serantau, Baginda berbangga dengan pencapaian belia baru-baru ini antaranya berjaya memenangi ASEAN Prize Award buat pertama kalinya.
Baginda juga bertitah menzahirkan kebanggaan melihat kejayaan atlet-atlet belia negara yang berjaya menempa nama dan mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dalam kejohanan sukan berprestij tinggi, Kejohanan Sukan ASEAN ke-32 dan Sukan Para ASEAN ke-12 di Kemboja.
Meskipun begitu, Baginda turut mengingatkan bahawa dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri keBruneian iaitu berakhlak mulia dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum agama dan undang-undang.
Malah Baginda menasihati para belia agar tidak perlu merasa rendah diri atau terpinggir jika tidak menyertai satu-satu jenis sukan yang tidak dibenarkan oleh agama atau undang-undang kerana ia adalah prinsip Brunei.
Sebelum mengakhiri titah dan bersempena Hari Belia Kebangsaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.