Selepas mengumumkan pengunduran daripada agensi bakat ADOR November lalu, kumpulan popular Korea, NewJeans kini tampil dengan akaun Instagram (IG) rasmi baharu yang dinamakan ‘Jeanzforfree’.
Kumpulan yang dianggotai Minji, Hanni, Danielle, Haerin dan Hyein mengambil langkah tersebut bagi membolehkan mereka terus dapat berkomunikasi dengan peminat.
Memetik laporan Utusan Malaysia, akaun tersebut mengumpul lebih dua juta pengikut meskipun baru dilancarkan.
Melihat kepada hantaran awal IG tersebut, kumpulan yang terkenal dengan lagu Super Shy itu memuat naik memaklumkan pihaknya telah menaja makanan peminat mereka
yang turun padang melakukan bantahan terhadap Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
NewJeans juga telah berkongsi rakaman persembahan mereka di Studio Harry Potter, Warner Bros di Jepun menerusi satu hantaran di IG.
Terdahulu pada 29 November lalu, NewJeans mencuri perhatian apabila memaklumkan telah menamatkan kontrak bersama ADOR kerana syarikat itu didakwa gagal melindungi dan menjaga mereka sebagai artis.
Mereka juga menegaskan akan menjalankan dan menguruskan sendiri aktiviti mereka tanpa terikat dengan mana-mana syarat. – Agensi