BEIJING, 14 Ogos – Pengeluaran perindustrian China, enjin utama pertumbuhan, meleset mendadak pada Julai apabila usaha kerajaan untuk mengawal hutang menjejas permintaan dan aktiviti ekonomi, data rasmi menunjukkan hari ini.
Angka tersebut keluar tatkala pihak berkuasa berusaha memperketat peraturan untuk mengekang hutang serta mengurangkan lebihan kapasiti daripada perbelanjaan infrastruktur kerajaan pada kemuncak krisis kewangan global.
Keluaran oleh kilang dan bengkel China berkembang lebih rendah daripada dijangka sebanyak 6.4 peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun lalu, kata biro statistik negara.
Ahli ekonomi yang ditinjau oleh Bloomberg News menjangka pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus untuk Julai selepas pengeluaran perindustrian meningkat sebanyak 7.6 peratus pada Jun.
Sementara itu, jualan runcit, menjadi lembap untuk mencatat 10.4 peratus pada bulan lalu, berbanding 11 peratus pada Jun, sementara pelaburan aset tetap mencatat pertumbuhan sebanyak 8.3 peratus dalam tempoh Januari-Julai, kedua-duanya dibawah jangkaan.
“Pada umumnya, ekonomi negara adalah stabil pada Julai dengan momentum positif dan pembaharuan struktural yang mendalam,” kata jurucakap biro statistik negara Mao Shengyong pada persidangan akhbar.
“Namun kami juga melihat keadaan antarabangsa masih merumitkan dan lemah, konflik struktural domestik masih ketara, dan masih timbulnya banyak kebimbangan yang tersembunyi.” – AFP