Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan mempunyai misi untuk meningkatkan keluaran sektor pertanian dan perikanan dengan kerjasama para pengusaha dalam sektor berkenaan.
Sehubungan itu, dalam agenda sekuriti makanan, strategi pertama kementerian ialah untuk memastikan pengusaha-pengusaha pengeluar padi, sayur-sayuran, buah-buahan, penternak ayam, lembu dan kambing serta nelayan, penternak ikan dan udang akan sentiasa dapat meningkatkan keluaran mereka secara berterusan bagi menampung sebahagian besar bukan sahaja permintaan orang ramai dalam negera tetapi bagi tujuan aktiviti memproses makanan dan untuk eksport.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dalam kenyataan ringkas semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau turut mengongsi secara ringkas perkembangan beberapa sektor penting termasuk keluaran padi yang dihasilkan oleh peladang tempatan yang telah meningkat dari 2,429 tan metrik pada 2016 kepada 3,864 tan metrik pada 2020, keluaran ayam pedaging meningkat dari 24,452 tan metrik pada 2016 kepada 26,365 tan metrik pada 2020.
Sementara itu, keluaran telur ayam meningkat dari 141 juta biji pada 2016 kepada 172 juta biji pada 2020, keluaran daging lembu meningkat dari 1,729 tan metrik pada 2016 kepada 2,149 tan metrik pada 2020 serta keluaran tangkapan ikan dan ternakan ikan iaitu akuakultur, meningkat dari 15,915 tan metrik pada 2016 kepada 16,575 tan metrik pada 2020.
“Umumnya, kita telah mencapai tahap sara diri sebanyak 8 peratus bagi bekalan beras, 67 peratus bagi bekalan sayur-sayuran tropika, 46 peratus bagi bekalan buah-buahan tropika, 100 peratus bagi bekalan daging ayam dan telur ayam serta 81 peratus bagi bekalan ikan,” tambahnya.
Manakala itu, strategi kedua dalam agenda sekuriti makan ialah dengan memastikan pengusaha-pengusaha kita dapat membawa masuk bahan-bahan makanan yang tidak dapat dikeluarkan dalam negara atau pun yang dapat dikeluarkan di dalam negara akan tetapi masih tidak mencukupi.
Dari segi daging lembu dan kambing, jelasnya, kita juga mengimport lembu dan kambing hidup dari luar negara terutama dari Australia, yang mana lembu-lembu dan kambing-kambing berkenaan disembelih di dalam negara dan daging-dagingnya dijual di dalam negara.
Pada 2020, sebanyak 8,493 ekor lembu dan 1,300 ekor kambing telah diimport dari luar negara. Manakala itu, pada 2021 iaitu sehingga September, sejumlah 13,091 ekor lembu dan 6,793 ekor kambing telah dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam dari luar negara.
Selain daripada itu, tambah Yang Berhormat Dato, kita juga mengimport daging lembu dan kambing beku dari luar negara terutamanya Australia di mana pada 2020, sebanyak 332 tan metrik telah diimport dan sehingga September 2021, sebanyak 628 tan metrik telah diimport dari luar negara.
Bagi bekalan ikan dan udang, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa nelayan kecil-kecilan dalam negara telah menyumbang sekitar 74 peratus keluaran ikan dalam negara.
Selain itu, beberapa pelabur langsung asing (FDI) juga terlibat dalam pengeluaran ikan dalam negara sama ada dengan menggunakan kapal-kapal penangkap ikan atau menternak ikan menggunakan sangkar-sangkar atau kolam-kolam iaitu akuakultur.
Bagi pelabur-pelabur FDI, selain memenuhi keperluan dalam negara, mereka juga menumpukan kepada pasaran eksport.
Seterusnya Yang Berhormat Dato berkata memandangkan keadaan COVID-19 yang melanda negara jiran sejak 2020 dan sekarang di negara kita, bagi memastikan bekalan makanan dari luar negara tidak terjejas serta pada masa yang sama, sebagai langkah berjaga-jaga serta berpandukan nasihat Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan, maka beberapa peraturan tambahan telah dikenakan bagi membawa masuk barangan pertanian dan perikanan ke Negara Brunei Darussalam dari negara luar melalui jalan darat.