Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga, ahli politik, rakyat beri penghormatan akhir kepada Pak Lah

    KUALA LUMPUR, 15 APRIL – Suasana suram menyelubungi Masjid Negara di sini hari ini dengan orang ramai mula hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia petang kelmarin.

    Ahli keluarga, ahli politik dan kenalan rapat yang hadir dibenarkan memasuki ruang masjid secara berperingkat untuk memberikan penghormatan terakhir bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi pegawai penjara turut hadir memberikan penghormatan terakhir kira-kira jam 10.40 pagi.

    Selain itu, turut kelihatan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan legenda rock, Datuk Ramli Sarip.

    Jenazah bekas perdana menteri yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah akan dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat Zuhur.

    Terdahulu, jenazah dibawa keluar dari kediamannya di Bait Badawi, persiaran Tuanku Jaafar sekitar jam 8:10 pagi untuk dikafankan dan disolatkan di Masjid Negara.

    Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7:10 malam tadi. IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Abdullah dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas. – Bernama

    Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengusung masuk jenazah Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk ditempatkan di ruang solat utama bagi penghormatan terakhir di Masjid Negara hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda